Cubaan seludup RM1.9 juta syabu tumpas

Bot yang dirampas dipercayai digunakan dua lelaki untuk menyeludup keluar dadah jenis syabu seberat 47.61kg bernilai RM1.9 juta di Teluk Sengat, Kota Tinggi, Johor, Jumaat lalu.
Bot yang dirampas dipercayai digunakan dua lelaki untuk menyeludup keluar dadah jenis syabu seberat 47.61kg bernilai RM1.9 juta di Teluk Sengat, Kota Tinggi, Johor, Jumaat lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tindakan dua lelaki menyembunyikan 47.61 kilogram (kg) dadah disyaki jenis syabu bernilai RM1.9 juta di dalam sebuah bot sebelum diseludup keluar gagal apabila diberkas polis dalam serbuan di Teluk Sengat, Kota Tinggi, Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan itu dua lelaki merupakan warga tempatan masing-masing berusia 22 dan 29 tahun.

Menurutnya, sindiket berkenaan menggunakan modus operandi mengubah suai bot gentian kaca untuk menyembunyikan dadah sebelum diseludup keluar ke negara jiran Indonesia.

"Bertindak atas maklumat aktiviti penyeludupan ini, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi telah melakukan satu serbuan di kawasan Teluk Sengat, Kota Tinggi.

"Hasil serbuan ini, kita berjaya menahan dua lelaki tempatan dan merampas 47.61 kg dadah disyaki jenis syabu bernilai RM1.9 juta,"katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, selain tangkapan dan rampasan dadah, pihaknya turut menyita sebuah kereta Perodua Myvi, motosikal jenis Yamaha LC, bot gentian kaca serta enjin jenis Yamaha bernilai RM73,000.

Dadah disyaki jenis syabu seberat 47.61kg bernilai RM1.9 juta yang dirampas dalam serbuan di Teluk Sengat, Kota Tinggi, Johor, Jumaat lalu.Foto IHSAN PDRM
Dadah disyaki jenis syabu seberat 47.61kg bernilai RM1.9 juta yang dirampas dalam serbuan di Teluk Sengat, Kota Tinggi, Johor, Jumaat lalu.Foto IHSAN PDRM

Jelasnya, hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif penyalahgunaan dadah namun semakan mendapati mereka memiliki satu rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan jenayah.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 23 hingga 29 Mei untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Pihak polis masih melakukan operasi susulan bagi menjejaki saki-baki anggota sindiket penyeludupan ini,"katanya.

Dalam perkembangan sama, Ayob Khan berkata, sepanjang tempoh 1 Januari hingga 20 Mei tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor berjaya membuat 6,587 tangkapan atas pelbagai kesalahan dadah.

Beliau berkata, dalam tempoh sama sebanyak 609.26 kg pelbagai jenis dadah dirampas bernilai RM14.66 juta serta RM6.42 juta harta disita.