35 pegawai kanan kerajaan negatif Covid-19 dikuarantin

Skrin memaparkan bilangan ujian harian makmal Covid-19 negara pada sidang media harian Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Skrin memaparkan bilangan ujian harian makmal Covid-19 negara pada sidang media harian Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan mengesahkan seramai 35 pegawai kanan kerajaan diarah menjalani kuarantin diri selama 14 hari selepas menghadiri mesyuarat pacsa Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Jabatan Perdana Menteri, di sini, Rabu lalu.

Ini berikutan kumpulan 35 pegawai itu menghadiri mesyuarat bersama seorang yang dikesan positif koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ujian calitan pertama ke atas 35 pegawai berkenaan didapati negatif tetapi perlu menjalani kuarantin sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kami telah menasihatkan mereka supaya menjalani kuarantin 14 hari di rumah masing-masing dan ujian calitan kedua akan dibuat pada hari ke-13. Sekiranya keputusan negatif, mereka dibenarkan bertugas semula,” katanya dalam sidang media harian Covid-19, di sini, hari ini.

Semalam, kenyataan Pejabat Perdana Menteri, menyebut Muhyiddin menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari mulai petang semalam susulan kehadiriannya dalam mesyuarat pasca Kabinet itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pegawai hadir mesyuarat positif Covid-19, PM dikuarantin

Dr Noor Hisham berkata, pegawai yang didapati positif Covid-19 dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan pengasingan.

Mengenai wanita hamil di Kelantan yang disahkan positif Covid-19 selepas melakukan perjalanan rentas negeri dari Ampang, Selangor, baru-baru ini, Dr Noor Hisham memaklumkan bahawa 26 daripada 30 kontak rapat di Kelantan yang menjalani saringan Covid-19 didapati negatif.

Artikel Berkaitan:

“(Baki) Empat kontak rapat di Selangor telah dikenal pasti, satu negatif dan tiga masih menunggu keputusan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun keputusan ujian saringan Covid-19 mereka adalah negatif, namun mereka perlu menjalani proses kuarantin selama 14 hari.

Rabu lalu, Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa wanita hamil 35 minggu itu disahkan positif Covid-19 selepas melakukan rutin pemeriksaan di klinik kesihatan ibu dan anak di Kuala Krai, Kelantan.

Wanita tersebut pulang ke kampung halamannya pada 15 Mei lalu untuk bersalin anak kedua. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Perantau bawa Covid-19 ke Kelantan

Covid-19: 30 ahli keluarga wanita hamil di Kelantan sudah disaring