Normal baharu mungkin kebiasaan yang berkekalan

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tingkah laku pengguna berubah susulan impak yang dicetuskan pandemik koronavirus (Covid-19), justeru normal baharu mungkin menjadi kelaziman yang berkekalan iaitu elemen yang perlu diberikan penekanan oleh peruncit dalam membantu memulihkan ekonomi negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kementerian itu mendapati jualan barangan pengguna cepat laris secara dalam talian meningkat 40 peratus susulan wabak tersebut.

Beliau berkata demikian dalam wawancara eksklusif bersama Bernama untuk dokumentari ‘Malaysia Bersatu lawan Covid-19 (Bahagian 1) yang akan disiarkan menerusi Bernama TV malam ini.

Dalam usaha menangani jangkitan wabak itu dan untuk tidak menyukarkan lagi sistem penjagaan kesihatan, kerajaan memutuskan penutupan perniagaan selain memerintahkan semua warga berada di rumah mulai 18 Mac lalu.

Langkah itu meratakan lengkungan jangkitan Covid-19 namun mengakibatkan Malaysia mengalami kerugian bernilai kira-kira RM2.4 bilion sehari.

Justeru, pada 4 Mei, negara mula membuka kembali ekonomi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan membenarkan sebahagian industri seperti pembuatan dan pembinaan bergerak semula.

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF

Tengku Zafrul berkata, 10 juta pekerja kini kembali bekerja sekali gus menyuntik hasil yang amat diperlukan ke dalam ekonomi.

Artikel Berkaitan:

"Memandangkan Malaysia bergantung kepada penggunaan pengguna untuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), penting untuk menyesuaikan dengan psikologi pengguna dan menilai sejauh mana wabak itu mempengaruhi tingkah laku pengguna.

"Malaysia, tanpa mempunyai jangkaan yang tidak realistik, memerlukan masa untuk merancakkan kembali ekonomi. Jika anda pergi ke pusat beli-belah hari ini, sejak 4 Mei, anda dapati rakyat beransur-ansur keluar namun ini memerlukan masa.

"Kesan psikologi Covid-19 atau Perintah Kawalan Pergerakan menjadikan masyarakat lebih berhati-hati semasa keluar rumah dan mereka keluar apabila perlu sahaja,” katanya.

Menurutnya, antara respons semasa tempoh PKP adalah menerima guna e-dagang yang didapati mencatatkan trafik dan pembelian lebih tinggi sejak PKP bermula.

"Pembeli baharu kini merangkumi 40 peratus daripada semua jualan dalam talian. Siapa kata 40 peratus ini akan berhenti membeli hanya kerana kedai-kedai dibuka?

"Mereka sekarang selesa membeli secara dalam talian, ini mungkin normal baharu walaupun selepas penawar atau vaksin Covid-19 berjaya dihasilkan,” katanya.

Sebahagian usaha untuk menghidupkan semula ekonomi adalah termasuk agar orang mempunyai wang untuk dibelanjakan, maka di sinilah pentingnya Pakej Rangsangan Ekonomi - dengan program subsidi upah RM13 bilion.

Tengku Zafrul berkata, walaupun masih terlalu awal untuk menilai keberkesanan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) namun beliau yakin pendekatan itu berjaya membendung kerugian ekonomi.

“Setakat ini, sejak bantuan kewangan itu mula disalurkan, lebih 11 juta orang menerima (BPN),” katanya.

Memetik Jabatan Perangkaan Malaysia, beliau berkata kerajaan berhasil mengekalkan kadar pengangguran pada 3.5 peratus bagi suku pertama 2020, meskipun angka itu dijangka meningkat kepada sekitar 7.0 peratus pada akhir tahun ini.

"Analisis telah mengaitkan angka itu kepada beberapa sektor yang mengalami pemulihan lembap, oleh yang demikian langkah latihan semula kemahiran adalah amat penting.

“Kita perlu memastikan warga Malaysia disokong dengan kemahiran yang baik untuk terus dan kekal relevan sepanjang tempoh pemulihan serta dalam era pembaharuan ekonomi,” katanya.

Menurutnya, contohnya kerajaan baru-baru ini memperkenalkan program menawarkan kelas kemahiran digital dan data secara percuma kepada rakyat Malaysia yang tidak mempunyai pekerjaan menerusi Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC).

Ketika ditanya sama ada penurunan harga minyak mempengaruhi defisit Belanjawan 2020, Tengku Zafrul berkata, Malaysia mempunyai kapasiti mencukupi untuk menyerap sebarang pengurangan pendapatan.

Sebahagian usaha untuk menghidupkan semula ekonomi adalah termasuk agar orang mempunyai wang untuk dibelanjakan.
Sebahagian usaha untuk menghidupkan semula ekonomi adalah termasuk agar orang mempunyai wang untuk dibelanjakan.

Beliau berkata kerajaan perlu mengubah suai belanjawan tersebut berdasarkan harga minyak mentah semasa pada AS$35 setong, dengan unjuran defisit belanjawan meningkat kepada 4.7 peratus daripada 4.5 peratus, dengan mengandaikan harga minyak mentah kekal stabil.

Belanjawan 2020 yang dibentangkan pada Oktober tahun lepas mengandaikan harga minyak mentah pada purata AS$62 setong.

“(Defisit belanjawan) ini bukan paras tertinggi bagi Malaysia. Kita mempunyai kapasiti...ia telah sedia tinggi sebelum ini (semasa Krisis Kewangan Global) dan kita memiliki disiplin mengurangkannya kepada 3.4 peratus tahun lepas,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, kesimpulannya perkara paling penting ialah rakyat Malaysia menjaga antara satu sama lain, majikan dan seluruh warganya kerana tanpa rakyat, tiada jugalah ekonomi.

“Pada akhirnya, keseimbangan di antara nyawa dengan mata pencarian, nyawa sentiasa perlu diutamakan. Jangan kita lupakan itu,” katanya.

Ekonomi adalah sesuatu yang boleh diperbaiki namun jika kehilangan nyawa, ia tidak pernah akan kembali, katanya. - Bernama