X

Kindly register in order to view this article
!

'Dah lama saya tunggu saat ini'

Azhari (kanan) memimpin solat Jumaat di Masjid Abidin, hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - "Dah lama saya tunggu saat ini. Kebetulan saya tinggal berdekatan masjid yang terpilih untuk solat Jumaat, rasa syukur sangat," demikian luah imam solat Jumaat di Masjid Abidin di sini, hari ini.

Azhari Yaacob yang merupakan Imam Masjid Bukit Tok Beng, Kuala Nerus dipilih menjadi imam solat Jumaat di Masjid Abidin, hari ini.

Beliau berkata, kerinduannya untuk memimpin solat berjemaah terubat selepas sembilan minggu umat Islam di negeri ini tidak dapat menunaikan solat di masjid akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

"Saya gembira, teruja dan bersyukur. Sebenarnya saya pun tak sangka dapat surat jemputan untuk jadi imam di masjid ini dua hari lepas sebab saya sebenarnya imam di masjid lain (Masjid Bukit Tok Beng).

"Kebetulan saya tinggal berhampiran masjid ini iaitu dalam lingkungan jarak 200 meter. Saya ditugaskan untuk menggantikan imam di masjid ini kerana beliau tidak tinggal berhampiran kawasan ini," katanya.

Azhari Yaacob
Azhari Yaacob

Berdasarkan tinjauan Sinar Harian, kawasan Masjid Abidin telah dipenuhi jemaah kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Kebanyakan mereka tiba lebih awal untuk menjalani proses saringan seperti pemeriksaan suhu badan.

Terdahulu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dalam satu kenyataan membenarkan lapan masjid terpilih di negeri ini (satu masjid setiap daerah) menunaikan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih dikuatkuasakan ketika ini.

Antara jemaah yang tinggal berdekatan masjid dan terpilih untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Abidin hari ini.
Antara jemaah yang tinggal berdekatan masjid dan terpilih untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Abidin hari ini.

Antara masjid terlibat ialah Masjid Sultan Ahmad, Kemaman; Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah, Dungun; Masjid Sultanah Nur Zahirah, Marang; Masjid Sultan Mahmud, Hulu Terengganu.

Empat lagi masjid terlibat ialah Masjid Wakaf Tembesu, Kuala Nerus; Masjid Abidin, Kuala Terengganu; Masjid Bandar Permaisuri, Setiu dan Masjid Nasaruddin Shah, Besut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus