X

Kindly register in order to view this article
!

Pas main peranan penting, jadi orang tengah wujudkan kerajaan PN

Wacana Sinar ke-170 bertajuk Perubahan Kerajaan: Antara Persepsi dan Perlembagaan yang disiarkan secara langsung hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Keberkesanan pendekatan strategi taktikal politik yang digunakan Pas membuktikan parti Islam itu memainkan peranan penting sehingga wujudnya kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, pendekatan itu dilaksanakan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan ia selari dengan ketetapan Perlembagaan serta dari sudut siasah/politik Islam.

Katanya, susulan itu Pas bersama dalam Gagasan Sejahtera dan walaupun tewas kepada PH pada PRU14, terdapat pandangan penganalisis politik dalam dan luar negara yang memberi ulasan bahawa Pas sebenarnya tidak kalah sebaliknya memperoleh kemenangan bersama PH kerana berjaya mengubah minda rakyat yang sebelum ini tidak yakin kerajaan Barisan Nasional (BN) boleh ditumbangkan.

"Pas berjaya kekalkan kemenangan di Kelantan dan memerintah Terengganu sementara PH terus memerintah selama 22 bulan.

"Namun dalam tempoh itu, pelbagai perkara berlaku sehingga Pas mengambil pendekatan politik yang dinamakan Muafakat Nasional iaitu penyatuan antara dua parti terbesar Melayu iaitu Pas dan UMNO.

"Walaupun bekerjasama dengan UMNO, Pas konsisten dengan prinsip atau pendekatan dipegang sebelum ini," katanya pada Wacana Sinar ke-170 Perubahan Kerajaan: Antara Persepsi dan Perlembagaan yang dibuat secara langsung hari ini.

Wacana turut menampilkan Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Shamrahayu A Aziz serta Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil sebagai panelis dan Azlan Shah Nabees Khan sebagai moderator.

Khairil Nizam berkata, walaupun terdapat beberapa pemimpin UMNO yang berdepan kes mahkamah, mereka bebas untuk mempertahankan diri sehingga dibuktikan bersalah.

Pas konsisten dalam hal itu katanya kerana sewaktu bersama Pakatan Rakyat dulu, Pas juga mengambil peranan sama iaitu membiarkan Lim Guan Eng diadili di mahkamah secara terbuka dalam kes yang dihadapinya selagi dia belum dibuktikan bersalah.

"Atas titik itu, apabila kita lihat perkara ini dibenarkan melalui Perlembagaan dan undang-undang, maknanya pendekatan taktikal politik itu dilihat dapat menyelamatkan rakyat dari krisis kerana sebelum ini rakyat beri keyakinan kepada PH tapi setelah berlaku defisit kepercayaan, Pas perlu menjadi orang tengah untuk menggabungkan kedua-dua parti ini (Pas-UMNO).

"Rakyat terima atau tidak (gabungan) kita lihat pada PRU15. Namun pendekatan yang diambil selari dengan prinsip siasah Islam," katanya.

Khairil Nizam berkata, setelah melihat krisis rakyat semakin meruncing, Pas sekali lagi menjadi orang tengah dengan melebarluaskan Muafakat Nasional kepada parti lain termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gabungan Parti Sarawak (GPS) sehingga wujud kerajaan PN.

Justeru katanya, kerajaan PN ini sah mengikut undang-undang seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada pembukaan penggal ketiga Dewan Rakyat dan Dewan Negara Isnin lalu.

"Maknanya tiada istilah kerajaan pintu belakang atau tebuk atap sebab termaktub dalam Perlembagaan.

"Kesimpulannya pertukaran kerajaan ini sah dan Pas memainkan peranan untuk menyatukan parti-parti serta menstabilkan keadaan bagi menghadapi krisis lebih besar iaitu koronavirus (Covid-19)," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus