4 warga Myanmar ditahan cuba rentas negeri

Polis menemui dua warga Myanmar di tempat simpanan barang. -Foto ihsan IPD Kemaman
Polis menemui dua warga Myanmar di tempat simpanan barang. -Foto ihsan IPD Kemaman
A
A
A

KEMAMAN - Empat lelaki warga Myanmar berjaya ditahan dalam sekatan jalan raya di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Perasing dekat Jabor, di sini, semalam setelah cuba merentas negeri dari Pahang ke Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kesemua suspek yang berusia dari 20 hingga 25 tahun itu ditahan kira-kira jam lima petang.

Turut ditahan, seorang lelaki tempatan yang berusia 57 tahun, dipercayai diupah untuk membawa mereka masuk ke negeri ini.

"Sepasukan pegawai dan anggota kita yang sedang melakukan pemantauan dan tugas sekatan antara negeri telah menahan sebuah lori ketika melalui sekatan jalan raya.

"Lori itu dipandu seorang lelaki tempatan bersama dua penumpang, namun berada dalam keadaan mencurigakan. Anggota kita telah membuat pemeriksaan dan membuka tempat simpanan barang di bahagian belakang dan menemui dua lagi warga Myanmar bersembunyi di belakang lori," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas Hanyan, ketika soal siasat, kesemua suspek memaklumkan mereka dalam perjalanan dari Kuantan, Pahang menghala ke Kemaman, namun gagal menunjukkan kebenaran rentas negeri daripada polis atau mana-mana penguat kuasa yang berkaitan.

Hasil siasatan lanjut, pihaknya mendapati empat warga Myanmar itu bekerja di Kuantan, Pahang namun dikatakan datang ke Terengganu kerana mahu mencari kerja.

"Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di bawah Peraturan 6 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa," katanya.

Artikel Berkaitan: