Saham sarung tangan dominasi kaunter paling untung di Bursa

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saham syarikat sarung tangan terus mendapat sambutan dan mendominasi senarai kaunter paling untung di Bursa Malaysia dalam sesi dagangan awal selepas pakar kesihatan melahirkan rasa kurang yakin terhadap perkembangan membabitkan vaksin koronavirus (Covid-19).

Pada 10 pagi, saham-saham Top Glove, Supermax dan warannya, Comfort Gloves, Kossan and Hartalega muncul antara 10 kaunter paling untung di bursa tempatan itu.

Top Glove untung 86 sen kepada RM11.66, Kossan menokok 35 sen kepada RM8.05, Hartalega meningkat 29 sen kepada RM9.71, Supermax menambah 72 sen kepada RM5.31 dan dua warannya - Supermax C-80 dan Supermax C-78 masing-masing meraih 53 sen kepada RM2.71 dan 34 sen kepada RM1.80.

Comfort Gloves yang juga antara kaunter paling aktif, melonjak 37 sen kepada RM2.85 dengan 56.59 juta saham saling berpindah tangan.

Sementara itu, Affin Hwang Investment Bank Bhd (Affin Hwang Capital) telah meningkatkan saranan ‘beli’ saham Supermax berbanding ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada RM5.40 daripada RM4.20 sebelumnya selepas keuntungan bersih syarikat itu berlipat ganda kepada RM71.06 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac, 2020 (Q3 2020) daripada RM34.62 juta pada setahun sebelumnya.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, firma itu berkata pandemik Covid-19 terbukti memacu keuntungan syarikat tersebut pada suku terbabit dan ia percaya terdapat ruang untuk peningkatan harga jualan ketika keseluruhan sektor itu dijangka menambah kapasiti kira-kira 10 peratus bagi 2020.

“Oleh kerana Covid-19 itu menjadi satu masalah serius mulai suku kedua 2020, permintaan terhadapnya kekal memberangsangkan pada suku-suku akan datang.

“Berdasarkan perkembangan sedemikian, kami berpendapat margin semasanya adalah kukuh,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain kenaikan harga, Affin Hwang Capital berkata, Supermax akan turut meraih manfaat susulan penyusutan ringgit serta sumbangan penuh Kilang 12A syarikat yang telah beroperasi sepenuhnya baru-baru ini dan menambah kapasiti sebanyak 2.2 bilion (atau sekitar 10 peratus sarung tangan) kepada 22 bilion yang ada pada masa sekarang.

Pendirian sama turut dikongsi Kenanga Research (cabang penyelidikan Kenanga Investment Bank) yang mengulangi saranan ‘outperform’ terhadap saham Supermax dengan TP lebih tinggi pada RM6.60 berbanding RM4.59 sebelum ini.

Sementara itu, MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap Supermax dan melakukan semakan semula dengan TP lebih tinggi pada RM4.09 daripada RM1.75. - Bernama