Konsep moden Pasar Borong KL tarik minat pekerja tempatan

Annuar Musa pada Facebook Live Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) di sini hari ini.
Annuar Musa pada Facebook Live Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasar Borong Kuala Lumpur akan diubah suai dengan konsep moden dan terkini menggunakan teknologi, bersesuaian dengan status Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar pintar, selamat dan hijau.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, konsep baharu itu adalah bagi menarik pekerja tempatan untuk merebut peluang pekerjaan dalam sektor itu dan mengurangkan kebergantungan terhadap warga asing.

Menurutnya, elemen teknologi dan mekanikal yang ditambah baik itu mampu mengubah persepsi anak muda yang sebelum ini kurang gemar meneroka sektor 3D yang dianggap susah, kotor dan bahaya.

"Insya-ALLAH, kita akan bina pasar borong yang menggunakan konsep moden, berteknologi, mekanikal dan memasukkan elemen hijau termasuk penggunaan tenaga solar selain penyediaan hostel pekerja.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Belia diperlukan di Pasar Borong Kuala Lumpur

"Dengan konsep yang diubah suai tersebut, saya harap tahun hadapan lebih ramai pekerja tempatan akan bekerja di pasar moden yang lebih kemas dan teratur seperti mana negara maju Jepun, Korea dan beberapa negara di Eropah," katanya pada Facebook Live Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) di sini hari ini.

Katanya, cadangan pengubahsuaian tersebut sudah memasuki fasa terakhir penelitian yang akan menjadi projek utama sebagai usaha kesinambungan untuk menyekat pekerja asing bekerja dalam sektor itu dan diisi dengan tenaga kerja tempatan.

"Kita tidak boleh hanya menghalang pekerja asing kerana lama-kelamaan mereka akan kembali semula apabila pekerja tempatan tidak sanggup bekerja berat yang banyak menggunakan tenaga dalam suasana kerja tidak kondusif.

"Dalam setiap penyelesaian, KWP mestilah memikirkan penyelesaian secara menyeluruh dan bukannya hanya 'ad-hoc', tapi berterusan sehingga ia menjadi satu realiti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama katanya, pihaknya mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meneruskan penguatkuasaan terhadap pekerja asing.

"Saya tahu ada pihak kurang senang dengan perkara ini, namun saya ingin jelaskan bahawa kerajaan akan ambil tindakan bersungguh-sungguh. Peluang pekerjaan ini hendaklah direbut dan diutamakan kepada pekerja tempatan," katanya.

Katanya, sepanjang tempoh perlaksanaan naik taraf itu, operasi perniagaan di kawasan itu akan berjalan seperti biasa dan diteruskan tanpa sebarang gangguan.