Polis buru lelaki samun majikan

Rakaman CCTV di lokasi kejadian menunjukkan suspek menyamun majikannya di sebuah premis menjual jeans dan kulit di sebuah pusat membeli belah di sini malam tadi.
Rakaman CCTV di lokasi kejadian menunjukkan suspek menyamun majikannya di sebuah premis menjual jeans dan kulit di sebuah pusat membeli belah di sini malam tadi.
A
A
A

LANGKAWI - Seorang lelaki tidak berhati perut apabila bertindak menyamun majikannya selepas sembilan jam bekerja di sebuah premis menjual jeans dan kulit di sebuah pusat membeli belah di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek berusia lingkungan 40-an dipercayai merancang menyamun premis berkenaan pada hari pertama bekerja kira-kira jam 7 malam.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek bertemu mangsa berusia 55 tahun untuk meminta kerja kira-kira jam 10 pagi sebelum diterima masuk sebagai pembantu kedai berkenaan tanpa mengambil butir peribadi.

"Sepanjang bekerja di kedai berkenaan, suspek yang bermuka cekung dan memiliki ketinggian kira-kira 170 sentimeter dikatakan memakai penutup muka.

"Suspek menumbuk peniaga itu hingga mangsa perlu mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Maliha di sini akibat patah tulang dan retak tulang rusuk," katanya kepada pemberita tadi.

Katanya, mangsa yang cedera turut dilaporkan menanggung kerugian RM5,000 selepas wang hasil jualan dilarikan suspek.

Beliau berkata, terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian namun tiada saksi jelas melihat kejadian samun itu.

Sehubungan itu, katanya, polis kini sedang memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan.

Artikel Berkaitan: