Aktiviti penggambaran dibenarkan selepas Aidilfitri

Gambar hiasan. FOTO 123rf
Gambar hiasan. FOTO 123rf
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju membenarkan aktiviti penggambaran dilakukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dijangka tarikh pelaksanaannya selepas Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun dibenarkan pihak syarikat produksi termasuk kru dan pelakon perlu mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Memang kita benarkan tetapi banyak persediaan yang perlu dilakukan pihak terlibat, jadi saya jangkakan penggambaran hanya boleh dimulakan pada hujung Jun.

"Antara SOP yang kerajaan tetapkan adalah semua mesyuarat dan uji bakat perlu dibuat secara dalam talian, mengemukakan rekod perjalanan semua tenaga produksi dan artis bagi tempoh empat minggu sebelum penggambaran dan memastikan tidak lebih daripada 20 orang terlibat dalam setiap sesi penggambaran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, syarikat produksi juga perlu melantik seorang penyelia keselamatan bagi memastikan pematuhan SOP di semua peringkat produksi.

"Perkhidmatan bufet bagi petugas dan artis adalah tidak dibenarkan dan makanan perlu dihidangkan secara pek individu.

"Jurusolek juga perlu menggunakan 'face shield' dan memastikan mencuci tangan sebelum dan selepas menyolek serta menata rias setiap artis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, penjarakkan sosial juga perlu dilakukan terutamanya jika ada babak yang perlu 'rapat-rapat'.

"Ia tidak boleh kecuali jika ada teknik tertentu yang boleh digunakan syarikat perfileman...yang penting dari segi fizikal tidak boleh ada jarak kurang satu meter dan tidak boleh berkumpul ramai-ramai.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menegaskan penggambaran atau rakaman 'centre stage' dan persembahan secara langsung (live performance) yang melibatkan tontonan ramai masih tidak dibenarkan.

"Kita hanya benarkan penggambaran filem, drama serta pengiklanan...penggambaran seperti teater tidak dibenarkan," katanya.