Kerenah birokrasi punca kesukaran tuntut elaun

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Kerenah birokrasi dengan peraturan tertentu di luar peruntukan surat pekeliling menjadi punca menyukarkan kira-kira 350,000 petugas barisan hadapan membuat tuntutan elaun khas Covid-19.

Bagaimanapun, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat menyambut baik campur tangan Kementerian Kewangan dalam mempermudahkan proses tuntutan.Menurutnya, elaun penugasan Covid-19 untuk petugas barisan hadapan sebelum ini mendapat perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disusuli Ketua Setiausaha Kementerian (KSU), Ketua Polis Negara dan Ketua Pengarah Kesihatan.

“Ia adalah perkara dasar di peringkat atas. Maknanya mereka sudah beritahu permudahkan tapi isu itu kini adalah di bawah iaitu peringkat pelaksanaan.

“Di sesetengah negeri, KSU sudah keluarkan surat pekeliling sebagai panduan supaya tuntutan dimudahkan dan dalam surat itu ada klausa meminta ketua jabatan mengambil tindakan.

“Tapi sekarang ini, ketua jabatan tidak mengambil tindakan seperti mana dalam pekeliling tersebut. Isunya adalah pelaksanaan di peringkat bawah,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Adnan berkata, pelbagai dokumen seperti salinan kad pengenalan, slip gaji, maklumat dan jadual kerja yang disyaratkan dikemukakan bagi tujuan tuntutan elaun itu seumpama kakitangan kerajaan baru masuk kerja.

Menurutnya, semua dokumen dan maklumat tersebut sudah pun tersedia dalam data jabatan.

“Sepatutnya jabatan pantau kehadiran barisan hadapan untuk pengesahan tuntutan elaun. Pelaksanaan juga berbeza di setiap negeri,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Cuepacs berharap agar proses tuntutan elaun itu dilaksanakan tanpa kerenah birokrasi bagi memastikan tiada frontliners yang tercicir.