X

Kindly register in order to view this article
!

Meriahnya Kampung Cherok Paloh

Suasana malam di persimpangan lampu isyarat kampung Cherok Paloh ceria dengan nyalaan cahaya pelita sepanjang malam tujuh likur ini.
A
A

KUANTAN - Buat julung kalinya, penduduk Kampung Cherok Paloh di sini meraikan malam tujuh likur dengan memasang ratusan pelita bagi menceriakan suasana kampung sempena Hari Raya Aidilfitri.

Sejak beberapa hari lalu, suasana malam di beberapa jalan di kawasan kampung berkenaan sudah diterangi cahaya pelita.

Inisiatif digerakkan Persatuan Warga Prihatin Cherok Paloh itu bermula beberapa hari lalu dan mendapat sokongan ahli jawatan kuasa dan penduduk terutama golongan muda.

Pengerusinya, Nor Adnan Mohd Nor, 55, berkata, usaha itu dilakukan bagi menceriakan suasana kampung selain menyemarakkan sambutan Aidilfitri pada tahun ini yang agak suram berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurutnya, ia juga sebagai salah satu aktiviti golongan muda di kampung berkenaan selepas hampir dua bulan ‘berkurung’ ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan.

“Alhamdulillah, aktiviti bermula pada malam Ahad lalu dengan memasang 280 pelita di sepanjang jalan di kawasan persimpangan lampu isyarat di kampung ini.

“200 pelita kita beli, manakala 80 pelita buluh dibuat sendiri ahli jawatankuasa persatuan dibantu golongan muda di kampung ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Nor Adnan berkata, cahaya pelita akan terus menyala sehingga malam raya kecuali jika hari hujan.

“Sekurang-kurangnya suasana malam tujuh likur yang dihiasi cahaya pelita ini menceriakan Aidilfitri yang mungkin disambut secara ‘tertutup’ tahun ini ekoran saranan kerajaan atas kebimbangan jangkitan Covid-19.

“Bagaimanapun, dalam proses membuat, memasang dan menyalakan pelita ini, kami tekankan kepatuhan kepada amalan penjarakkan sosial dan mengambil langkah pencegahan sewajarnya,” katanya.

Menurutnya, Persatuan Warga Prihatin Cherok Paloh merancang untuk menjadikan aktiviti itu sebagai acara tahunan setiap kali menjelang Aidilfitri.

“Mungkin kita akan buat pertandingan dalam kalangan penduduk untuk menceriakan kawasan rumah masing-masing dengan hiasan pelita menjelang malam tujuh likur.

"Sudah tentu, bila semua ambil bahagian, suasana satu kampung akan ceria dan meriah. Itu perancangan akan datang.

"Kali ini, walaupun terikat dengan PKPB, kami anggap ia satu permulaan yang berjaya kerana mendapat sokongan dan sambutan yang baik daripada penduduk di sini,” katanya.

Beliau berkata, selain aktiviti memasang pelita, pihaknya turut terlibat membantu mengagihkan sumbangan kepada golongan memerlukan sepanjang PKP dan Ramadan ini.

“Insya-ALLAH, Jumaat ini kami akan membuat agihan 400 ayam kepada penduduk kampung melalui sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan orang perseorangan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus