'Rezeki hari ini dapat bantu abang Pos Malaysia'

Nur Yasmin membantu pekerja Pos Malaysia terlibat dalam kemalangan jalan raya Jumaat lalu. Nur Yasmin bersama rakan-rakannya hulurkan sumbangan hasil program 'membeli sambil menderma'.
Nur Yasmin membantu pekerja Pos Malaysia terlibat dalam kemalangan jalan raya Jumaat lalu. Nur Yasmin bersama rakan-rakannya hulurkan sumbangan hasil program 'membeli sambil menderma'.
A
A
A

RAWANG - Kisah seorang gadis yang prihatin selepas membantu pekerja Pos Malaysia terlibat dalam kemalangan di tempat kerjayanya tular di media sosial.

Nur Yasmin Khan Yazid, 22, berkata, dalam kejadian Jumaat lalu, beliau nekad membantu mangsa kemalangan tersebut berbekalkan ilmu dan pengalaman berkaitan kecemasan.

Bertugas sejak tujuh bulan lalu di sebuah stesen minyak di Rawang, katanya, lokasi tempat kerjanya berhampiran jalan utama itu sering kali berlaku kemalangan jalan raya.

"Saya membantu kerana melihat ramai yang hanya singgah tengok, lalu dan pergi tanpa menghulurkan bantuan.

"Jadi berbekalkan pengalaman bertugas sebagai kerani di sebuah hospital dan tahu serba sedikit tentang ilmu bantuan kecemasan, saya beranikan diri bantu mangsa kemalangan," katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, beliau bersyukur kerana dapat membantu dari segi tenaga selain dapat menggunakan sebanyak mungkin ilmu untuk membantu orang lain.

"Mungkin ini peluang saya untuk mencari pahala di kala mereka dalam kesusahan," katanya.

Sebelum ini, kisah Nur Yasmin tular di laman sosial kerana membantu mangsa kemalangan berhampiran tempat kerjanya sehingga mendapat pujian netizen.

Artikel Berkaitan:

"Rezeki hari ini dapat bantu abang #POSMALAYSIA sebab dia kemalangan depan tempat kerja aku.

"Buka mata lihat, tepuk dada tanya hati? Korang boleh tak, letak diri korang kat tempat dorang ni," ciapnya di Twitter sambil mengingatkan pengguna kenderaan sentiasa peka dengan penggunaan signal.

Dalam perkembangan lain, Nur Yasmin memberitahu beliau turut melakukan program amal 'membeli sambil menderma' di tempat kerjanya bagi membantu orang kurang bernasib baik semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Program berkenaan telah bermula pada hari pertama PKP sehinggalah sekarang.

"Sudah masuk minggu kelapan dan lebih dari 40 buah rumah yang kami dah salurkan bantuan pada penduduk," jelasnya.