Misi rahsia angkasa lepas AS

Roket Atlas V yang membawa kapal angkasa X-37B dilancarkan dari Cape Canaveral di Florida semalam sehari selepas rancangan itu terpaksa ditangguhkan akibat cuaca buruk. - Foto Agensi
Roket Atlas V yang membawa kapal angkasa X-37B dilancarkan dari Cape Canaveral di Florida semalam sehari selepas rancangan itu terpaksa ditangguhkan akibat cuaca buruk. - Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Pasukan tentera udara Amerika Syarikat (AS) didakwa melancarkan misi rahsia ke angkasa lepas semalam.

Roket Atlas V yang membawa kapal angkasa X-37B itu dilancarkan dari Cape Canaveral di Florida sehari selepas rancangan itu terpaksa ditangguhkan akibat cuaca buruk.

Pelancaran itu turut disiarkan secara langsung dan memaparkan bagaimana bahagian roket Atlas V itu terpisah sebelum rakaman itu dihentikan atas faktor kerahsiaan.

“Ia adalah misi sulit termasuk butiran terperinci tentang X-37B. Keputusan menghentikan siaran langsung ini bagi mengelakkan musuh memperoleh lebih banyak data tentang kapal angkasa tersebut,” kata Ketua Eksekutif United Launch Alliance (ULA), Tory Bruno.

Difahamkan, pelancaran yang turut didedikasikan untuk kakitangan barisan hadapan yang memerangi pandemik koronavirus (Covid-19) itu menandakan permulaan misi keenam X-37B yang akan melibatkan lebih banyak eksperimen berbanding sebelum ini.

Program X-37B tersebut bermula pada 1999 dan ia menyerupai dan berfungsi sama seperti pesawat ulang-alik Discovery, Endeavour dan Atlantis yang misi mereka ditamatkan pada 2011.

Pesawat seberat hampir 5,000 kilogram berukuran sembilan meter panjang dan 4.6 meter lebar itu pertama kali dilancarkan pada April 2020 dan kembali ke bumi selepas misi selama lapan bulan.

Misi terakhirnya adalah pada Oktober 2019 selepas berada 780 hari di orbit.

Artikel Berkaitan:

Jumaat lalu, Pasukan Angkasa Lepas AS yang kini mempunyai kira-kira 16,000 anggota profesional turut memperkenalkan bendera rasmi mereka kepada Presiden Donald Trump.

Pengumuman rasmi itu dibuat hampir dua tahun selepas Trump mengarahkan Pentagon menubuhkan Pasukan Angkasa Lepas. - Agensi