Setahun bawa bas tanpa lesen

Penumpang bas yang didapati positif dadah ditahan untuk tindakan selanjutnya.
Penumpang bas yang didapati positif dadah ditahan untuk tindakan selanjutnya.
A
A
A

PASIR PUTEH - Seorang pemandu bas pesiaran berusia 30-an antara yang ditahan kerana tidak mempunyai lesen memandu dalam sekatan jalan raya di Bukit Yong, malam kelmarin.

Lebih mengejutkan apabila pemandu itu mengakui sudah setahun bekerja dengan syarikat bas berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Superintenden Markandan Subramaniam berkata, bas pesiaran dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Johor Bharu itu turut disita.

Menurutnya, penumpang bas berkenaan pula terpaksa menaiki bas gantian yang diuruskan syarikat terbabit bagi meneruskan perjalanan.

“Kita memandang serius kesalahan tidak memiliki lesen dan ini merupakan peringatan kepada pengusaha lain.

“Kita menyifatkan pengusaha bas tidak amanah kerana keselamatan penumpang sepatutnya diberi keutamaan,” katanya.

Markandan berkata, sekatan jalan raya menerusi Ops Kenderaan Perdagangan itu turut menyita dua kereta dan mengeluarkan 30 saman atas pelbagai kesalahan.

Katanya, seramai 60 orang kebanyakannya penumpang bas menjalani ujian air kencing dan 10 daripadanya ditahan kerana positif dadah.

Artikel Berkaitan:

"Operasi yang dijalankan di seluruh daerah ini sebagai pra Ops Selamat yang akan dilancarkan sempena perayaan Tahun Baharu Cina nanti.

“Tujuan kita adalah memberi peringatan dan bukan semata-mata mencari kesalahan. Harapan kita pengguna lebih prihatin,” katanya.