Bursa Malaysia melonjak 9.98 mata pada tengah hari

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi dengan ditutup tinggi pada tengah hari ini seiring dengan aliran meningkat di pasaran bursa serantau apabila harga minyak mentah yang bertambah baik telah merangsang minat risiko dalam pasaran.

Pada jam 12.30 tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 9.98 mata, atau 0.71 peratus kepada 1,413.42 daripada 1,403.44 pada penutup Jumaat minggu lalu.

Indeks itu dibuka 5.95 mata lebih kukuh kepada 1,409.39.

Suasana pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 542 berbanding 304, manakala 373 kaunter tidak berubah, 656 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 6.70 bilion bernilai RM243.16 juta, disokong oleh minat belian terhadap kaunter berharga rendah.

Di peringkat serantau, Indeks Nikkei Jepun meningkat 0.56 peratus kepada 20,149.12, Indeks Hang Seng Hong Kong naik 0.40 peratus kepada 23,892.24 dan Indeks Straits Times Singapura menokok 0.74 peratus kepada 2,542.12.

Seorang peniaga berkata pemulihan harga minyak mentah yang menyaksikan penanda aras minyak mentah global Brent Crude meningkat di atas paras AS$33 setong daripada paras rendah di bawah AS$20 setong baru-baru ini telah memulihkan keyakinan peserta pasaran.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IOI Corp naik 16 sen kepada RM4.15, Petronas Chemicals meningkat 11 sen kepada RM5.67, Maybank dan IHH menokok enam sen setiap satu masing-masing kepada RM7.46 dan RM5.55 manakala Digi menambah tujuh sen kepada RM4.46.

Artikel Berkaitan:

Senarai kaunter paling cergas dikuasai oleh kaunter berkaitan minyak dan gas apabila Icon Offshore naik lima sen kepada 12.5 sen, Bumi Armada meningkat 6.5 sen kepada 26 sen, Velesto menokok tiga sen kepada 17 sen, KNM naik enam sen kepada 24 sen dan Hibiscus menambah 6.5 sen kepada 64.5 sen.

Kaunter paling untung ialah United Plantations yang melonjak 64 sen kepada RM26.20 manakala kaunter paling rugi ialah Nestle yang turun 50 sen kepada RM139.30.

Di papan indeks, Indek FBM Emas meningkat 102.85 mata kepada 9,970.91, Indeks FBMT 100 menokok 95.05 mata kepada 9,811.16 manakala Indeks FBM Emas Shariah melonjak 139.48 mata kepada 11,273.53.

FBM ACE naik 6.55 mata kepada 5,396.65 dan FBM 70 meningkat 223.64 mata kepada 12,215.06. Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 56.20 kepada 12,323.41, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.14 mata kepada 122.02 dan Indeks Perladangan menambah 94.09 mata kepada 6,291.25. - Bernama