Yayasan YTL, UKM jalin kerjasama

Dr Francis Yeoh Sock Ping
Dr Francis Yeoh Sock Ping
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yayasan YTL menjalinkan kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi membangunkan bahan pengajaran dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris untuk murid Darjah 1 hingga Tingkatan 5.

Bahan pengajaran secara dalam talian itu kemudiannya akan ditambah ke dalam silibus mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains sedia ada untuk kegunaan ibu bapa serta pelajar.

Inisiatif melibatkan kerjasama dengan FrogAsia itu bertujuan untuk memastikan pelajar terus mendapat akses bagi meneruskan pembelajaran yang tergendala sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Dianggarkan seramai 30 orang penuntut Program Pengajian Bahasa Inggeris, Program Pengajian Linguistik dan Program Pengajian Bahasa Melayu daripada Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM akan menyertai barisan felo serta alumni daripada Teach for Malaysia yang membangunkan bahan pengajaran secara dalam talian.

Pengerusi Yayasan TYL, Tan Sri Dr Francis Yeoh Sock Ping berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan UKM dalam satu program yang memberi manfaat kepada pelajar di Malaysia.

“Penggunaan teknologi dalam pendidikan sangat dekat dengan UKM.

“Kami berasakan UKM merupakan rakan kerjasama yang terbaik untuk membangunkan bahan pengajaran dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Dalam perkembangan yang sama, Yayasan YTL telah memberikan kad SIM 4G YES secara percuma dengan data sebanyak 40GB kepada 28,000 orang penuntut dan kakitangan UKM bagi mengikuti Inisiatif Belajar Dari Rumah yang dianjurkan.

Artikel Berkaitan:

Universiti lain yang telah menyertai inisiatif tersebut ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Malaysia Pahang (UMP), New Era University College (NEUC) dan Malaysian Institute of Art (MIA).