Terjaga dari tidur selepas sedar rumah dimasuki pencuri

No Image Caption
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang kerani terjaga dari tidur apabila menyedari rumahnya dimasuki pencuri selepas terdengar bunyi beg tangan terjatuh dalam kejadian di Tali Air 10 Ban Kanal di sini semalam.

Kejadian jam 4.50 pagi itu disedari mangsa berusia 25 tahun yang ternampak kelibat seorang lelaki di dalam rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, wanita itu kemudian melihat suspek melarikan diri dengan sebuah motosikal jenis skuter yang tidak dikenal pasti nombor pendaftarannya.

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian RM250 dan dokumen peribadi," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Agus Salim berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Sekinchan pada jam 8.30 pagi.

Katanya, polis sedang berusaha mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

"Kita masih menjalankan siasatan berhubung kejadian ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Sebelum ini tular di media sosial Facebook berhubung kejadian pecah rumah membabitkan sebuah rumah di Tali Air 10 Ban Kanal pada waktu bersahur.

Artikel Berkaitan: