Pemandu Myvi serah diri

Laporan Sinar Harian sebelum ini.
Laporan Sinar Harian sebelum ini.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Pemandu Perodua Myvi yang sebelum ini dilaporkan memandu melawan arus dan merempuh dua penunggang motosikal berhampiran susur masuk Jambatan Pulau Pinang Jumaat lalu menyerah diri semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan sejurus menyerah diri di Balai Polis Trafik Bukit Mertajam di sini, jam 5 petang semalam.

Menurutnya, pemandu yang berasal dari Kepala Batas itu mendakwa dia memandu melawan arus kerana menyangka laluan tersebut adalah jalan dua hala.

"Ujian saringan air kencing dan alkohol yang dilakukan terhadap lelaki itu mendapati dia bebas daripada bahan terlarang berkenaan malah turut mendakwa dia tidak mabuk semasa kemalangan tersebut.

"Lelaki berkenaan kini direman sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan kemalangan maut tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu melawan arus dalam kejadian di susur masuk Jambatan Pulau Pinang di sini Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 10.35 pagi itu, kereta jenis Perodua Myvi dikatakan merempuh dua buah motosikal di laluan berkenaan.

Akibat kejadian itu, salah seorang penunggang motosikal, Muhamad Hafiz Bakri, 31, meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa, Lim Kar Tian, 34, patah kaki kiri.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Shafee berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

ARTIKEL BERKAITAN: Maut dirempuh kereta lawan arus