X

Kindly register in order to view this article
!

Kembalikan kuasa beli rumah belia

Irmohizam berpendapat sudah tiba masa bagi anak muda di negara ini menjadi pendukung dalam mencorak pelbagai inisiatif pemulihan ekonomi.
A
A

WABAK Covid-19 menyebabkan sektor hartanah di Malaysia berkembang perlahan selain dilemahkan faktor ketidaktentuan turun naik mata wang dan dagangan yang lemah termasuk perkembangan perlahan di negara-negara kuasa besar dunia.

Melihatkan perkara itu, sektor hartanah turut memerlukan suntikan daripada kerajaan kerana semua pihak terlibat secara langsung dalam sektor tersebut.

Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara langkah proaktif yang diambil, namun tidak mungkin ia dapat membantu serta memulihkan ekonomi pasaran hartanah secara keseluruhan.

Kuasa beli yang rendah boleh menguburkan sektor hartanah terutamanya bagi anak muda yang mahu memiliki rumah pertama. Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti tahun 2017 dengan lambakan rumah tidak terjual atau lambakan hartanah.

Ekoran itu perlu ada resolusi dan pelan jangka pendek yang sesuai bagi mengembalikan kuasa beli hartanah terutamanya dalam kalangan anak muda.

Cabaran langsung bagi lambakan hartanah disebabkan ketidaksepadanan dalam permintaan dan penawaran rumah berlebih-lebihan. Cabaran itu lebih berganda dengan wabak Covid-19 yang cukup ganas untuk membunuh sektor itu.

Justeru, langkah penawaran kepada pemilikan asing mungkin boleh dipertimbangkan semula bagi sektor hartanah tertentu bagi menyelamatkan ekonomi dan sektor hartanah biarpun campur tangan pihak luar bukanlah satu solusi yang sangat baik.

Alternatif

Ada beberapa alternatif yang boleh mengangkat sedikit kuasa beli dalam kalangan belia atau orang muda. Pertama, dari sudut penjualan hartanah.

Ini masa yang terbaik untuk Lembaga Hasil Dalam Negeri memberi sedikit kelonggaran dengan mengecualikan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) atau mengurangkannya pada kadar terendah.

Keadaan inilah yang akan memberi peluang untuk pelabur hartanah menghidupkan enjin pelaburan yang tidak dapat digerakkan disebabkan Covid-19. Keadaan ini akan turut memberi inspirasi kepada anak muda yang ingin berjinak-jinak dengan dunia pelaburan.

Kedua, adalah lebih baik jika kerajaan dapat memberikan pengecualian caj duti setem bagi setiap pembelian rumah pertama mereka yang berharga RM500,000 ke bawah. Caj duti setem yang dikenakan daripada 1 hingga 3 peratus sebaiknya dimansuhkan buat seketika.

Ketiga, pihak bank harus turut memainkan peranan penting dalam isu kewangan hartanah. Perlu ada kelonggaran dari segi mendapatkan pembiayaan perumahan.

Sekitar tahun 2019, ramai yang layak untuk memiliki rumah atas inisiatif kerajaan Persekutuan mahupun negeri. Contohnya seperti yang pernah dilaporkan oleh Astro Awani.

Di Selangor, hanya 24,243 pembeli ditawarkan pembiayaan bagi program Rumah Selangorku daripada 189,892 pemohon sejak 2014 hingga 2019 akibat syarat ketat oleh pihak bank. Syarat itu seharusnya memberi keutamaan dan mesra pembiayaan kepada golongan muda.

Sebagai alternatif, ada syarikat perumahan harus bersedia menawarkan pilihan pembiayaan mudah tunai selain menggunakan pinjaman bank. Biarpun mempunyai pilihan pembiayaan mudah tunai yang ditawarkan, namun pemohon perlulah berhati-hati dan lebih teliti agar tidak mengalami kerugian pada kemudian hari.

Semua ini adalah ujian yang besar buat sektor swasta dan awam. Jadi perlulah kita terima kerana tiada ujian yang ALLAH turunkan kepada hambanya sekiranya tidak mampu diharungi.

Sudah tiba masa bagi anak muda di negara ini menjadi pendukung dalam mencorak pelbagai inisiatif pemulihan ekonomi.

* Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim ialah Pengarah Eksekutif World Trade Centre, Kuala Lumpur


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus