SAM cadang dana khas bantu pengamal media

Jasni Shafie
Jasni Shafie
A
A
A

PERSATUAN Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) mencadangkan kerajaan agar mempertimbangkan bantuan khas berupa dana kepada pengamal media di negara ini yang turut terkesan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa pada 18 Mac lalu.

Presiden SAM, Jasni Shafie berkata, sebahagian pengamal media yang bekerja bukan sebagai kakitangan tetap (freelancer) atau stringer terkesan kerana bayaran upah dibayar mengikut hari bekerja atau tugasan yang tidak dapat mereka laksanakan sepanjang tempoh PKP.

Sedangkan katanya, pengamal media juga adalah sebahagian daripada barisan hadapan dengan tugas menyampaikan berita yang tepat dan sahih bagi memastikan rakyat Malaysia mematuhi arahan kerajaan dalam usaha membendung wabak Covid-19 dari terus menular di negara ini.

"Kalau ada peluang memberikan cadangan, saya ingin meminta kerajaan satu peruntukan ataupun dana khas kepada industri media tempatan termasuk media sukan kerana memang sebahagian besar daripada industri media turut terjejas dengan masalah Covid-19 ini.

"Saya ingin mengambil contoh sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan Romania di mana mereka memperuntukkan hampir 40 juta euro (RM160 juta) bagi membantu industri media di negara mereka selepas kesan yang agak teruk akibat pandemik ini.

"Melalui peruntukan itu mereka membantu semua media termasuk elektronik, media dalam talian dan media cetak termasuk media papan iklan atau billboard," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Industri media ibarat ‘pesakit Covid-19’

Industri media perlu suntikan dana kerajaan

Artikel Berkaitan:

KKMM sedang nilai cadangan bantu industri media

Jasni memberitahu, daripada peruntukan dijangkakan tidak begitu besar itu, ia boleh dijana kepada industri media yang pelbagai di negara ini melalui pembelian slot iklan untuk mendidik masyarakat agar mengamalkan gaya hidup baharu (normal baharu).

"Langkah ini juga dapat memastikan masyarakat mendapat berita sahih dan tepat bagi mengelak berita palsu yang kian berleluasa disebarkan melalui media sosial pada masa kini.

"Jadi saya memohon kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberikan sedikit perhatian kepada industri media ini bukan sahaja dalam media sukan tetapi keseluruhan industri media di negara kita kerana mereka juga adalah antara barisan hadapan yang turut membantu kerajaan dalam membendung wabak penularan Covid-19," ujarnya.