KKMM sedang nilai cadangan bantu industri media

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang menilai cadangan bantuan komersial, perundangan untuk membantu industri media tempatan yang terjejas akibat Covid-19.
Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau mengambil maklum beberapa cadangan dikemukakan iaitu membeli ruang pengiklanan secara konsisten, memaksa syarikat gergasi teknologi seperti Google dan Facebook membayar penggunaan kandungan media dan berita serta penilaian semula rejim cukai.
"Itu antara yang dicadangkan beberapa tokoh wartawan dan pengusaha media, kita akan bincang mengenai perkara ini dan akan lihat sejauh mana kita boleh membantu," katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan kerja ke Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Wisma Bernama di sini hari ini.
Baru-baru ini perkara itu disuarakan oleh pengusaha media tempatan yang mahu campur tangan kerajaan dalam membantu memastikan industri media yang juga terkesan teruk akibat 'gangguan' teknologi digital agar terus bernafas.