X

Kindly register in order to view this article
!

Ringgit dijangka kekal pada paras semasa minggu depan

A
A

RINGGIT dijangka kekal pada paras semasa sekitar 4.30 hingga 4.40 berbanding dolar AS yang dicatatkan sejak April lepas.

Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan berkata, masih belum dapat dipastikan jika ringgit akan melepasi paras 4.35 berbanding dolar AS selepas dua kali susut daripada lingkungan itu pada bulan ini yang hanya membuka laluan ke arah 4.40.

Namun paras psikologi 4.30 kekal menjadi paras sokongan utama walaupun kemungkinan mencecah paras tersebut sukar direalisasikan dalam masa terdekat.

“Bagi minggu akan datang, pelabur global akan mula mencari petunjuk bahawa ada negara yang dapat keluar daripada sekatan pergerakan dan mencatat semula kebiasaan seperti sebelumnya,” katanya.

Antara kalendar ekonomi Malaysia pada minggu hadapan adalah pengumuman Indeks Harga Pengguna yang dijangkakan mencatat penguncupan 1.5 peratus dan menjadi angka negatif kedua berturut-turut bagi bulan ini.

“Namun, aktiviti ekonomi luar pesisir yang kembali beroperasi dijangka merangsang penggunaan domestik dan menyokong tekanan harga,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, purata pergerakan 50 hari untuk ringgit berbanding dolar AS kembali ke tahap sokongan dengan kedua-dua mata wang itu melepasi petunjuk utama teknikal minggu ini.

“Bagaimana pun, ringgit muncul salah satu mata wang dengan prestasi lebih baik di rantau ini berbanding dolar AS, didorong oleh kejutan positif membabitkan pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar bagi suku pertama,” katanya.

Menurutnya, risiko peningkatan semula ketegangan dagangan AS-China di tengah-tengah usaha untuk pemulihan daripada pandemik koronavirus (Covid-19) itu akan turut memberi tekanan penyusutan terhadap mata wang Asia.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, ringgit ditutup kebanyakannya lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang lain.

Ia rendah berbanding dolar AS pada 4.3480/3540 daripada 4.3310/3370 pada Jumaat lepas dan susut berbanding euro pada 4.7011/7084 daripada 4.6948/6022.

Namun ringgit meningkat berbanding yen Jepun pada 4.0605/0673 daripada 4.0716/0780 seminggu lepas, mengukuh berbanding dolar Singapura pada 3.0542/0591 daripada 3.0645/0696 dan tinggi berbanding pound Britain kepada 5.3067/3154 daripada 5.3626/3718. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus