Pekerja terjejas semasa PKP alami kemurungan, kebimbangan tinggi

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Pekerja yang dicutikan tanpa gaji, menerima pengurangan gaji dan hilang pekerjaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengalami tekanan emosi, kemurungan dan tahap kebimbangan yang tinggi.

Ia berdasarkan hasil kajian daripada kumpulan penyelidik The Centre yang dikendalikan pada Fasa Kedua PKP berdasarkan ​subsample​ 720 responden daripada jumlah keseluruhan 1,084 responden.

Laporan kajian berkenaan diterbitkan The Centre dengan dua bahagian bertajuk 'How the MCO affected Income, Jobs, and Mental Well-being', yang diterajui​ Aziff Azuddin bersama Dr Idlan Zakaria dari The Centre dengan rundingan ahli psikologi dan psikiatri.

The Centre berkata, hasil dapatan utama kajian mendapati pengurangan gaji memberi tekanan terhadap ​kesejahteraan​ mental responden. ​

Katanya, 39 peratus hingga 54 peratus responden yang melaporkan pengurangan gaji juga melaporkan telah mengalami emosi negatif​.

"Responden yang ​bercuti tanpa gaji mengalami tahap kemurungan yang tinggi dan mereka yang hilang kerja melaporkan tahap kebimbangan dan tekanan yang tinggi​.

"Walaupun responden melahirkan kebimbangan tentang keupayaan membayar bil, sewa dan pinjaman ​semasa​ PKP, lebih ramai melaporkan mereka juga bimbangkan hal ini ​selepas​ PKP. ​

"Kebimbangan kewangan utama termasuk keupayaan untuk menangani kecemasan kesihatan, membayar bil, sewa/gadai janji dan pinjaman serta ketidakupayaan menampung perbelanjaan tanggungan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel Berkaitan:

The Centre berkata, hasil kajian juga mendapati berlaku perubahan dalam status pekerja setelah PKP berkuat kuasa ​dan pekerja separuh masa mengalami perubahan yang paling tinggi.

"Sebanyak 27 peratus yang melaporkan mereka tidak boleh bekerja, 20 peratus melaporkan mereka sedang cuti tanpa gaji ataupun telah dikurangkan gaji, dan tujuh peratus yang telah hilang kerja," katanya.

Dalam dapatan kajian sama, golongan pelajar dan penganggur mengalami kesejahteraan mental yang negatif semasa PKP berbanding dengan yang lain.

"Responden dalam kalangan pelajar melaporkan bahawa kekurangan peluang pekerjaan adalah salah satu kebimbangan utama mereka selepas PKP," katanya.

Sehubungan itu, The Centre berkata, PKP dan krisis Covid-19 telah mendedahkan betapa gentingnya isu kesihatan dan kesejahteraan mental dalam kalangan rakyat Malaysia yang pasti melangkau tempoh PKP, lebih-lebih lagi dengan masalah ekonomi yang mendatang.

"The Centre berharap pihak kerajaan meneruskan usaha untuk menangani isu kesihatan mental secara jangka masa panjang dan dengan berkesan.

"Kami mencadangkan peningkatan infrastruktur sokongan kesihatan mental, bukan sahaja di klinik dan hospital tetapi juga di peringkat komuniti," katanya.