Selangor hadkan 12 jemaah solat Jumaat bermula esok

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah berkenan bagi memberi kebenaran kepada ahli jawatankuasa masjid dan imam untuk mendirikan solat Jumaat di Masjid Negeri, Masjid Diraja serta Masjid Daerah bermula esok.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad berkata, bagaimanapun hanya ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan imam saja yang dibenarkan iaitu seramai tiga hingga maksimum 12 orang.

Menurutnya, perkenan itu diberikan setelah Sultan Selangor mengadakan perbincangan bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti Negeri Selangor dan JAIS bagi mendapatkan pandangan dari hukum syarak berhubung pelaksanaan itu.

Mohd Shahzihan berkata, semua masjid dan surau di seluruh negeri masih tidak dibenarkan melaksanakan solat Jumaat sepertimana ketetapan awal JAIS pada 16 April lalu.

"Sebarang perkembangan mengenai pelaksanaan ini akan dimaklumkan dari masa ke masa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Sultan Selangor memperkenankan tempoh penangguhan solat Jumaat, berjemaah dan aktiviti ceramah serta kuliah di semua masjid, surau dan musala di negeri ini dilanjutkan sehingga 31 Mei.

Bagaimanapun, sekiranya wabak koronavirus (Covid-19) dapat dibendung dan diatasi dalam satu tempoh yang lebih awal maka satu arahan baru akan dikeluarkan.

Artikel Berkaitan: