Kaki judi terjun laut elak dicekup

Sejumlah wang tunai dan set permainan judi dirampas dalam serbuan berkenaan -Foto: Ihsan JHEAT
Sejumlah wang tunai dan set permainan judi dirampas dalam serbuan berkenaan -Foto: Ihsan JHEAT
A
A
A

DUNGUN - Tiga daripada sekumpulan kaki judi sanggup menggadai nyawa dengan terjun ke dalam laut bagi mengelakkan dicekup penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dalam serbuan di sebuah pondok di Kuala Paka, Dungun semalam.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Penguatkuasaan JHEAT, Mohd Adnan Abdullah berkata, dalam serbuan jam 1.05 tengah hari itu, sembilan lelaki berusia antara 20-an hingga 60-an termasuk dua daripada yang nekad terjun ke laut berjaya diberkas.

Beliau berkata, semasa serbuan di lokasi, kumpulan lelaki itu dilihat sedang asyik bermain mahjong dan dam haji di kawasan berkenaan sehinggakan langsung tidak menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa syariah.

"Bagaimanapun sejurus menyedari lokasi itu dikepung, mereka segera melarikan diri termasuk tiga individu yang nekad terjun ke dalam laut semata-mata mengelak daripada dicekup, namun seorang sahaja yang berjaya meloloskan diri.

"Tindakan 'berani mati' mereka menyebabkan kami terpaksa menghubungi bomba bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Mohd Adnan berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Agama Daerah Dungun untuk tindakan lanjut.

"Kita turut merampas sejumlah wang tunai dan set permainan judi yang digunakan untuk aktiviti judi berkenaan.

"Mereka ditahan mengikut Seksyen 22 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berjudi," katanya.

Artikel Berkaitan: