Wisma Putra sudah cuba halang MB Johor

Datuk Osman Sapian
Datuk Osman Sapian
A
A
A

PUTRAJAYA – Kementerian Luar berkata, ia tidak berjaya untuk menghalang Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian daripada melawat pelabuhan Johor Bahru pada 9 Januari lepas dalam lawatan yang Singapura mendakwa Osman telah menceroboh perairan wilayahnya apabila membuat lawatan tersebut.

Wisma Putra telah berulang kali menghubungi pejabat menteri besar untuk menasihati beliau supaya tidak membuat perjalanan itu selepas dimaklumkan mengenai lawatan tersebut hanya pada 9 Januari tetapi pada masa itu, Osman sudahpun berada dalam sebuah kapal dan menuju ke pelabuhan tersebut, kata Wisma Putra dalam satu kenyataan.

Singapura mendakwa bahawa Osman telah menceroboh perairan wilayahnya dan mengemukakan bantahan melalui nota diplomatik kepada Wisma Putra bertarikh 11 Januari dan juga meminta penangguhan mesyuarat ke-14 Jawatankuasa Bersama peringkat Menteri bagi Iskandar Malaysia (JMCIM) yang dijadualkan pada 14 Januari.

[ARTIKEL BERKAITAN: Saya ada menerima sokongan: MB Johor]

Dalam satu kenyataan hari ini, Wisma Putra berkata, sebaik dimaklumkan oleh sebuah agensi penguat kuasa Malaysia pada pagi 9 Januari mengenai lawatan Osman yang dirancang, para pegawai kementerian di bawah nasihat Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, segera dan berulang kali menghubungi pejabat menteri besar dan menyampaikan pesanan supaya tidak meneruskan lawatan tersebut.

Wisma Putra berkata, kementerian bimbang bahawa lawatan tersebut adalah tidak produktif selepas mesyuarat dua hala antara menteri luar Singapura dan Malaysia sehari sebelumnya telah membuahkan hasil yang positif lagi konstruktif.

Pada 8 Januari, menteri luar dari kedua-dua negara bersetuju untuk menubuhkan kumpulan kerja yang akan mengkaji dan membincangkan hal-hal perundangan dan operasi untuk meredakan situasi dan menyediakan asas untuk perbincangan dan rundingan lanjut.

Kenyataan Wisma Putra hari ini adalah susulan kenyataan oleh Osman yang menjelaskan bahawa restu tidak rasmi telah diperoleh daripada Saifuddin dan timbalannya sebelum meneruskan lawatan yang dirancang ke Pelabuhan Johor Bahru di perairan wilayah Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Osman juga dilaporkan menegaskan bahawa beliau tidak menceroboh perairan Singapura dan apa yang dilakukannya ialah memerhatikan pasukan keselamatan Malaysia menjalankan tugas mereka.

"Tanpa menghiraukan perkembangan baru-baru ini, kementerian ingin menumpukan usahanya kepada kumpulan kerja dan berharap untuk menjadi hos bagi mesyuarat pertama akhir bulan ini sebagai bukti komitmennya untuk mengukuhkan hubungan dua hala dengan Singapura berdasarkan prinsip kesamaan dan saling menghormati, " kata kenyataan Wisma Putra.