Usah gadai kedaulatan negara kerana pelancongan

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Wiranita Perkasa Malaysia membantah pemberian perjalanan tanpa visa kepada pelancong China dan India yang ingin mengunjungi Malaysia.

Ketuanya, Foziah Nawawi berkata, jika ia dilaksanakan bermakna ia akan membuatkan tiadanya kawalan terhadap pelancong yang memasuki negara ini.

Menurutnya, situasi tersebut membahayakan keselamatan negara dan ketenteraman awam memandangkan terdapat banyak kes pelancong memasuki Malaysia atas visa pelawat tapi tidak keluar-keluar dari negara.

“Wiranita Perkasa juga menyeru agar dipertimbangkan semula pemberian Electronic Travel Registration & Information (eNTRI) kepada pelancong yang memudahkan kemasukan mereka ke negara ini.

[ARTIKEL BERKAITAN:Beri kemasukan tanpa visa kepada pelancong China, India]

“Kami mencadangkan agar satu sistem yang lebih telus, pantas dan komprehensif untuk menggantikan sistem eNTRI agar kita tidak menggadaikan kedaulatan dan keselamatan negara semata-mata kerana industri pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, Wiranita Perkasa menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi perhatian serius dan mengkaji semula sistem eNTRI.

“Apalah gunanya kedaulatan negara tergadai dan keselamatan negara tergugat demi kerana sedikit keuntungan daripada industri pelancongan,” ujarnya.

Baru-baru ini, Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) menggesa kerajaan memberikan perjalanan tanpa visa kepada pelancong dua negara berkenaan untuk meningkatkan pelancongan Malaysia.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang berkata, jumlah pengunjung ke Malaysia merosot sebanyak tiga peratus pada 2017 berbanding 2016 meskipun jumlah pelancong agak positif di seluruh Asean pada 2017.