Tak galak rentas daerah di Pahang sambut Aidilfitri

Mohamad Noor memberi penerangan kepada orang ramai agar mematuhi PKPB yang telah ditetapkan kerajaan.
Mohamad Noor memberi penerangan kepada orang ramai agar mematuhi PKPB yang telah ditetapkan kerajaan.
A
A
A

KUANTAN - Orang ramai tidak digalakkan melakukan pergerakan rentas daerah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini ketika sambutan Aidilfitri nanti.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, bagaimanapun penduduk boleh mengunjungi saudara-mara dan jiran di kawasan taman perumahan yang sama dengan mengawal kehadiran tetamu supaya tidak terlalu ramai.

Menurutnya, langkah itu bagi mencegah penyebaran jangkitan koronavirus (Covid-19) yang masih ada ketika ini.

"Aktiviti ziarah Aidilfitri antara daerah dengan daerah tidak digalakkan kerana ia membabitkan jarak jauh. Bagi saya ziarah terbaik adalah dalam satu taman yang sama.

"Kita bimbang, jika kita banyak bergerak ia akan menyebabkan punca penyebaran Covid-19 kerana kita tidak tahu tahap atau status kesihatan individu yang datang berkunjung ke rumah.

"Jadi untuk tahun ini saya rasa kita kena terima hakikat sambutan Aidilfitri sebegini kerana sedang berdepan dengan wabak yang belum selesai," katanya.

Mohamad Noor menasihatkan pemilik premis agar mematuhi SOP PKPB sepanjang menjalankan operasi perniagaan di sebuah pusat membeli-belah di daerah Kuantan semalam.
Mohamad Noor menasihatkan pemilik premis agar mematuhi SOP PKPB sepanjang menjalankan operasi perniagaan di sebuah pusat membeli-belah di daerah Kuantan semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan Pemantauan Pematuhan SOP PKPB membabitkan premis perniagaan dan pusat membeli-belah di sekitar bandar Kuantan petang semalam.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai pematuhan SOP PKPB di premis perniagaan, Mohamad Noor berkata, pihak pengurusan pusat membeli-belah dan premis perniagaan dilihat mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan kerajaan Pahang.

Beliau berkata, setakat ini pengusaha dan peniaga telah menunjukkan sikap positif dalam mematuhi SOP PKPB.

Katanya, mereka juga sudah menampal notis bilangan pelanggan yang dibenarkan masuk ke premis, memeriksa suhu badan, menyediakan cecair pembasmi kuman dan memastikan pelanggan memakai topeng muka.

"Polis amat berpuas hati namun pemantauan akan terus dijalankan bagi memastikan orang ramai mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya.

Dalam pada itu Mohamad Noor berkata, pihaknya sedang mengatur operasi pencegahan jenayah sempena Aidilfitri.