X

Kindly register in order to view this article
!

KBS, 450 RMT Virtual sertai World #QuranHour

Wan Ahmad Fyhsal (depan, kiri) bersama pegawainya memegang plakad World #QuranHour selepas selesai membaca Surah Ar-Rahman pada program itu yang berlangsung serentak seluruh negara bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang tadi.
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama 450 peserta program Rakan Muda Virtual (RMT Virtual) seluruh negara menyertai program World #QuranHour 1441H: Reboot Global Harmony yang berlangsung serentak seluruh dunia hari ini.

Menerusi program itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengetuai bacaan Surah Ar-Rahman bersama empat pegawainya dan ia turut disiarkan secara langsung di Facebook kementerian berkenaan.

Wan Ahmad Fyhsal berkata, sempena World #QuranHour, semua peserta RMT Virtual meluangkan masa selama sejam untuk membaca dan menghayati Surah Ar-Rahman.

"Penyertaan KBS dalam World #QuranHour ini untuk menggalakkan anak-anak muda bertadarus dan meluangkan masa selama sejam dengan al-Quran.

"Penganjuran program World #QuranHour ini juga bertepatan dengan sunnah kerana kita digalakkan mengimarahkan bulan Ramadan dengan membaca al-Quran secara berjemaah," katanya kepada Sinar Harian.

Wan Ahmad Fhysal (depan, kiri) mengetuai bacaan Surah Ar-Rahman pada program World #QuranHour yang diadakan serentak seluruh dunia hari ini.
Wan Ahmad Fhysal (depan, kiri) mengetuai bacaan Surah Ar-Rahman pada program World #QuranHour yang diadakan serentak seluruh dunia hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam konteks dunia moden hari ini, program World #QuranHour juga memanfaatkan capaian teknologi dan jaringan komunikasi apabila ia diadakan secara maya dengan meluas kali ini ekoran pandemik koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, inisiatif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas menganjurkan kempen World #QuranHour sejak lima tahun lalu adalah usaha yang sangat baik dan ia perlu diteruskan bukan sahaja pada bulan Ramadan tetapi pada bulan biasa.

Menyentuh mengenai program RMT Virtual pula, Wan Ahmad Fhysal memberitahu, ia merupakan program tadarus al-Quran secara dalam talian dengan menggunakan aplikasi WhatsApp.

"Program ini sebagai salah satu inisiatif KBS bagi memastikan masa belia Malaysia terisi dengan aktiviti tadarus sempena bulan Ramadan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan akibat wabak Covid-19.

"Program RMT telah bermula sejak 7 Ramadan lalu dan akan berakhir pada 26 Ramadan ini," katanya.

Salah seorang pegawai KBS menunjukkan plakad World #QuranHour sebagai sokongan terhadap program itu.
Salah seorang pegawai KBS menunjukkan plakad World #QuranHour sebagai sokongan terhadap program itu.

Beliau juga menasihatkan golongan muda supaya mempelajari bahasa Arab bukan untuk pandai bertutur dalam bahasa itu sahaja tetapi untuk memahami kandungan al-Quran dan karya-karya ulama tersohor seperti tafsir agung.

Katanya, ia supaya hubungan golongan muda dengan al-Quran lebih akrab kerana dapat memahami permata yang terkandung dalam kitab suci itu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!