Anak Cina curi-curi berpuasa

Dr Johari bersama keluarga dan anak lelakinya, Mikhael (dua dari kanan) turut mengikut jejak langkah beliau dengan melanjutkan pembelajaran di Tentera Diraja (MTD), Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Dr Johari bersama keluarga dan anak lelakinya, Mikhael (dua dari kanan) turut mengikut jejak langkah beliau dengan melanjutkan pembelajaran di Tentera Diraja (MTD), Sungai Besi, Kuala Lumpur.
A
A
A

KOTA BHARU - Sebagai ‘anak jantan’ sudah tentu pantang dicabar dan sedia menyahut cabaran lebih-lebih lagi ketika zaman remaja.

Tidak terkecuali yang berlaku kepada Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Dr Johari Abdullah, 45, atau lebih dikenali sebagai Johari Yap yang dicabar untuk berpuasa oleh rakan beragama Islam.

Katanya, pengalaman itu berlaku ketika beliau bersekolah di Tingkatan Satu di Maktab Tentera Diraja (MTD), Sungai Besi, Kuala Lumpur pada tahun 1988.

“Masa itu, saya belum memeluk agama Islam dan tertanya-tanya bagaimana rakan-rakan Islam boleh bertahan tidak makan dan minum pada bulan Ramadan apabila perlu melibatkan diri dengan acara sukan serta latihan ketenteraan walaupun sedang berpuasa.

“Apabila bertanya kepada seorang sahabat Melayu, saya dicabar dan katanya saya pasti pengsan tidak sampai setengah hari. Bagaimanapun sebagai anak lelaki saya tetap menyahut cabaran itu,” katanya ketika ditemubual Sinar Harian baru-baru ini.

Dr Johari (tengah) semasa berusia 13 tahun bersama rakan sebayanya ketika belajar di Tingkatan Satu Maktab Tentera Diraja (MTD), Sungai Besi, Kuala Lumpur pada tahun 1988.
Dr Johari (tengah) semasa berusia 13 tahun bersama rakan sebayanya ketika belajar di Tingkatan Satu Maktab Tentera Diraja (MTD), Sungai Besi, Kuala Lumpur pada tahun 1988.

Ceritanya lagi, pada hari pertama puasa, beliau bangun bersahur tetapi tidak turun ke dewan makan kerana takut dimarahi senior menyebabkan rakannya membantu memanaskan air dan merendam mi segera di dalam baldi.

“Saya juga diajar berniat supaya puasa itu menjadi lengkap dan benarlah kata mereka tidak sampai tengah hari sahaja saya sudah tak tahan, bukan disebabkan lapar tetapi lebih kepada berasa dahaga yang amat sangat.

Artikel Berkaitan:

“Ketika mandi tengah hari, saya berkumur banyak kali bagi menghilangkan rasa haus itu, namun tetap teruskan berpuasa walaupun tahu ketika itu tidak wajib pun untuk saya berbuat demikian,” katanya tersenyum mengimbau kenangan itu.

Katanya yang berasal dari Wakaf Bharu, Tumpat itu, beliau tidak menyangka mampu menyempurnakan puasa tersebut kerana beliau adalah individu yang tidak tahan lapar, namun mungkin hikmat kerana berniat sebelum berpuasa.

“Selepas itu setiap kali datang bulan Ramadan saya akan berpuasa di samping meraikan sahabat Muslim yang lain.

“Pada tahun berikutnya, saya sudah berani turun bersahur di dewan makan sehinggakan pak cik yang bekerja di kantin itu pun sudah kenal saya sebagai anak Cina yang turun makan sahur jam 4 pagi,” katanya.

Beliau yang kini menjawat jawatan Pegawai Penyelidik di Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan itu berkata, peluang berpuasa hanya dapat dilakukan di MTD dan tidak berkesempatan apabila pulang bercuti.

“Tidak kurang juga cemuhan daripada rakan-rakan Muslim yang mengatakan saya membuang masa kerana tidak dapat pahala kecuali lapar dan dahaga tetapi saya tetap teruskan juga.

“Hasrat berpuasa penuh tercapai apabila saya mengikuti seorang sahabat Cina Muslim, Zubir Lee Yew Weng pulang ke kampungya di Kuching, Sarawak dan berjaya berpuasa penuh sebulan Ramadan pada 1992 semasa di Tingkatan Lima di MTD sebelum memeluk Islam pada 2 Mac 1996,” katanya.