Cara lariskan surat khabar

A
A
A

Adalah menarik apabila Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya menyarankan agar kerajaan segera menyalurkan bantuan kepada industri media tempatan yang terkesan teruk akibat gangguan teknologi digital dan ancaman Covid-19.

Pengarah Eksekutif Sarawak Tribune Press, Dr Jeniri Amir yang menyokong saranan Chamil mengajak kerajaan melihat dari sudut tanggunjawab moral untuk mempertahankan jagawan estet keempat itu.

Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub seterusnya mencadangkan tiga aspek yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan. Pertama, mengenakan peraturan agar gergasi media sosial antarabangsa seperti Google dan Facebook membayar penggunaan kandungan media dan berita.

Kedua, menggesa kerajaan membeli ruang pengiklanan secara konsisten melalui media arus perdana. Ketiga, mewajibkan mana-mana portal media yang baharu diwujudkan untuk mendapatkan lesen penerbitan.

Bekas Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang berkata, para pengiklan masih berminat untuk mengiklankan produk dan perkhidmatan mereka melalui akhbar cetak tetapi masalahnya pula akhbar yang mengalami penurunan mendadak edarannya turut menyaksikan penurunan pendapatan iklan.

Saranan pihak pengurusan akhbar adalah berhubung dengan hal-hal yang melibatkan dasar. Dengan hubungan yang erat pihak akhbar dan pemerintah, banyak saranan akan diambil perhatian lebih-lebih lagi pada masa pihak pemerintah memerlukan sahabat untuk memerangi Covid-19 dan tidak keterlaluan juga untuk memerangi seteru politik.

Namun, betapa banyak pun bantuan daripada kerajaan, persoalan dasar yang masih perlukan jawapan ialah bagaimanakah cara untuk meningkatkan jumlah pembeli akhbar? Pada hemat saya, syarikat-syarikat akhbar perlu menggabungkan segala sumber secara lebih terbuka.

Masing-masing perlu berpaut antara satu sama lain untuk berkongsi sumber dan menjimatkan kos melalui beberapa pendekatan.

Pertama ialah perkongsian berita yang lebih bersistematik.

Artikel Berkaitan:

Pada hari ini, pembaca akhbar Melayu tak tahu apa berita menarik di akhbar Tamil, Cina atau Inggeris dan begitulah sebaliknya. Perkongsian berita akan menjimatkan kos, malah akan menggalakkan persefahaman antara kaum.

Pengangkutan dan pengedar juga seboleh mungkin disatukan juga. Ini mengurangkan kos dan akan menyelaras pengedaran akhbar. Begitu juga sebuah aplikasi pengumpulan maklumat jualan yang boleh diguna oleh semua pengedar dan peruncit perlu dibina.

Dalam keadaan survival ini semua penerbit akhbar harus berkongsi maklumat jualan. Biar masing-masing tahu akhbar siapakah yang paling laris pada satu-satu hari. Ia seperti perlumbaan harian yang mana masing-masing mahu menang dan ini akhirnya akan merangsang kreativiti persembahan berita yang akhirnya akan melariskan akhbar.

Menjangkau ke media elektronik, pihak akhbar dan elektronik perlu bekerjasama untuk bertukar maklumat berita sebagai satu pendekatan cross-selling. Penonton televisyen akan nampak jenama akhbar dalam siaran berita. Tentu sekali banyak bahan di televisyen boleh dipindah ke dalam bentuk teks dalam akhbar pula.

Untuk alam maya pula, di sinilah medan yang sesak dan sendat. Strategi lautan biru sudah sukar digunakan melainkan bila sesebuah akhbar itu benar-benar ingin ke lautan biru di Antartika dan hilang di mata netizen.

Untuk itu, pihak akhbar harus bekerjasama atau membeli portal yang terkenal. Sesebuah jenama akhbar cetak sebenarnya hanya sesuai di atas kertas. Apabila ia muncul di alam maya, maaf cakap ia seperti orang tua yang masuk parti orang muda.

Kita lihat pada hari ini, portal yang nama yang pelik dan unik mendapat tempat di hati netizen yang muda. Penggunaan jenama akhbar cetak di alam maya tidak akan dapat menarik netizen untuk beralih ke akhbar cetak. Ia seperti berundur di terowong masa.

Covid-19 kian mendekatkan masyarakat dengan alam maya dan semakin jauh daripada akhbar cetak. Inilah hakikat pahit yang harus diterima oleh industri akhbar cetak.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian