Surat khabar masih punyai peranan penting, kata Anwar

Anwar menyampaikan ucapan dan merasmikan sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 di Ipoh pada Ahad. - Foto Bernama
Anwar menyampaikan ucapan dan merasmikan sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 di Ipoh pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Surat khabar tetap mempunyai peranan penting dalam menyalurkan maklumat dan berpotensi untuk bertahan jika mengekalkan mutu dan integritinya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, walaupun media sosial kini mengambil alih peranan akhbar fizikal, namun beliau masih berpandangan surat khabar mempunyai peranan yang lebih tinggi dan wajar berbanding media sosial.

"Saya masih mewakili fikiran lama, saya masih setiap hari selain melihat sedikit perkembangan di media sosial, saya masih wajib membaca surat khabar setiap hari," katanya ketika berucap merasmikan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 di sini pada Ahad.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Timbalannya, Teo Nie Ching.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi.

Bertemakan 'Media Bebas Tunjang Demokrasi', kira-kira 1,000 pengamal media menghadiri majlis yang diadakan untuk mengiktiraf peranan media itu.

Dalam pada itu, Anwar berkata, tugas seorang wartawan itu bukan sekadar perakam idea, sebaliknya pencetus idea yang berteraskan nilai.

"Bila berkata bicara negara ini Madani, demokrasi, maknanya kita nak terapkan nilai, bukan fahaman sempit yang boleh melemah dan mematikan semangat atau pecah belahkan rakyat.

"Jadi pembentukan nilai dan Madani itu penting, ini (Madani) istimewa dan unik kerana menekankan nilai dan akhlak itu mendasari pemikiran, pembangunan, kebebasan kewartawanan dan lain lain, jadi saya gesa rakan-rakan untuk sebarkan maklumat berdasarkan ilmu dan nilai," katanya.

Anwar juga berkata, media negara ini perlu kekal bebas sepenuhnya dari sebarang bentuk pengaruh dan tekanan, bagaimanapun perlu mengelak daripada mengeluarkan unsur-unsur yang mengungkit permusuhan kaum dan agama.

Pada majlis hari ini juga, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan permulaan RM1 juta untuk Tabung Kasih@Hawana yang diwujudkan sempena Hawana 2023 bagi menyantuni pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang memerlukan bantuan.

Tabung Kasih@Hawana merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Digital dan dilaksanakan menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai usaha berterusan membantu komuniti media yang berdepan dengan kesukaran dan cabaran hidup.

Anwar turut menyampaikan sumbangan daripada tabung berkenaan kepada tiga wartawan veteran di Perak iaitu bekas pemberita bebas, Ou So Ha @ Ou Kok Meng, 74, pemberita sambilan akhbar Tamil Malar, V Maniam, 76, dan Editor portal berita Independent.my, Haron Shafei, 65.

Terdahulu di bawah inisiatif sama, Haslinda Ahmad, balu kepada jurukamera TV3 Perak, Allahyarham Rosli Abu Bakar, turut menerima sumbangan itu. - Bernama