Jangan jadikan inkues modal kempen PRK!

Mohammad Hamdan
Mohammad Hamdan
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak bersetuju dengan tindakan pihak tertentu menjadikan inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, sebagai modal politik dalam kempen PRK Cameron Highlands.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, ia tidak wajar dipolitikkan sesiapa pun untuk kepentingan tertentu kerana dikhuatiri akan menjejaskan kredibiliti siasatan dan perpaduan masyarakat.

"Kita tidak bersetuju dengan perbuatan seumpama itu. Nasihat saya, (kes) ini masih dalam siasatan dan sedang diambil tindakan inkues. Jadi, kalau kita buat sesuatu kenyataan, ia mungkin boleh bercanggah dengan apa yang sudah disiasat dan bukti yang diperoleh,

"Sudah pasti kita sentiasa berharap keadilan untuk (Allahyarham Muhammad Adib) ini akan dipelihara dan diambil perhatian serius kerana kehilangan nyawa seorang penjawat awam yang ikhlas lagi jujur dalam melaksanakan tugas sehingga dianggap ikon dalam JBPM tidak boleh dinafikan dengan sesuatu yang tidak lengkap," katanya pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Tahun 2019 di sini, hari ini.

Allahyarham Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir jam 9.41 malam pada 17 Disember lalu selepas tiga minggu mendapatkan rawatan.

Allahyarham sebelum ini dilaporkan cedera parah dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, 27 November lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Inkues Adib: Lebih 30 saksi dipanggil beri keterangan]

Hari ini, pengurusan kes bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib didengar di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Artikel Berkaitan:

Dijangka lebih 30 orang akan dipanggil memberi keterangan dalam prosiding berkenaan.

Mohammad Hamdan sebelum itu menganugerahkan Pingat Jasa Bomba kepada Allahyarham Muhammad Adib yang disampaikan kepada abang arwah, Mohd Ashraf Mohd Kassim.

Turut menerima penganugerahan, Ketua Pengarah JBPM keenam, Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim yang menerima Penganugerahan dan Pingat Kebesaran JBPM.

Sementara itu, lapan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang juga rakan sepasukan Allahyarham Muhammad Adib juga diberi penghargaan atas keberanian dan jasa bakti mereka semasa menghadiri operasi pemadaman kebakaran kenderaan, November tahun lalu.

Selain itu, seramai 16 pengamal media dan tiga orang awam turut menerima sijil penghargaan sebagai tanda penghargaan kepada individu dan organisasi menyokong program publisiti JBPM serta memberi khidmat bakti kepada masyarakat.