Premis perniagaan hanya boleh gaji pekerja asing yang sah: DBKL

DBKL
DBKL
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Semua pelesen premis perniagaan di sekitar ibu kota mesti melantik atau menggaji pembantu atau pekerja warga asing yang mempunyai permit kerja yang sah.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, arahan itu termaktub dalam Undang-Undang Kecil (UUK) 20 Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 dan UUK 22 Pelesenan Petempatan Makanan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016.

Bagaimanapun katanya, bagi pelesen pasar awam dan penjajaan, mereka hanya boleh memakai pekerja dalam kalangan warganegara Malaysia sahaja.

Arahan itu turut terpakai kepada pelesen pasar awam dan pasar borong di bawah UUK 14 Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016, UUK 38 Pasar (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 dan UUK 16 Pasar Borong (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2002.

"Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan surat arahan itu kepada semua pelesen yang terlibat pada hari ini untuk mematuhi peraturan tersebut.

"Pelesen diarah mula merancang untuk pelantikan atau penggajian sepenuhnya pekerja warga asing yang mempunyai permit kerja sah sahaja bagi memastikan operasi perniagaan mereka tidak terjejas.

"Kegagalan untuk mematuhi arahan ini membolehkan tindakan lebih tegas dikenakan ke atas pelesen termasuk membatalkan lesen perniagaan, tindakan sita dan menamatkan kontrak perjanjian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan Nor Hisham berkata, pembukaan Pasar Raja Bot di Chow Kit di sini yang akan bermula esok (13 Mei) ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Artikel Berkaitan:

Notis penutupan itu dikeluarkan DBKL sejak 29 April lalu bagi memberi laluan kepada proses sanitasi dan saringan koronavirus (Covid-19) terhadap peniaganya. - Bernama