X

Kindly register in order to view this article
!

UAE sumbang bekalan perubatan

Hishammuddin menyaksikan penyerahan bantuan bekalan perubatan oleh kerajaan UAE yang diwakili Khalid Ghanim (kiri) kepada Muhammad Shahrul (kanan). - Foto Wisma Putra
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyumbang bekalan perubatan melalui inisiatif Wisma Putra, Malaysia’s Diplomatic Equipment Stockpile (MDES).

Bantuan yang diterima itu terdiri daripada 14,000 unit cecair sanitasi tangan yang akan diagihkan kepada petugas barisan hadapan koronavirus (Covid-19) Wisma Putra di dalam negara serta di perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara.

Majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di Wisma Putra di sini, hari ini diwakili Duta UAE ke Malaysia, Khalid Ghanim Mohammad Al-Ghaith manakala Wisma Putra diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menyaksikan majlis penyampaian itu berkata, bantuan itu merupakan tanda keakraban hubungan antara kerajaan Malaysia dan UAE.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih khususnya kepada Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa UAE, Sheikh Abdullah Zayed Al Nahyan serta kepimpinan tertinggi kerajaan UAE.

“Sesungguhnya, sumbangan ini membuktikan keakraban hubungan Malaysia-UAE yang telah terjalin sekian lama.

“Kerjasama dengan UAE hanyalah salah satu daripada pelbagai lagi bentuk kerjasama yang dijalinkan Malaysia dengan rakan negara di seluruh dunia bagi menangani cabaran krisis Covid-19,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ia bukan sahaja bertujuan memudah cara urusan rakyat negara ini yang terkandas di luar negara tetapi juga bagi mendapatkan ubat-ubatan untuk merawat serta vaksin untuk mencegah wabak berkenaan.

Selain menyumbangkan peralatan perubatan melalui MDES, kerajaan UAE turut menyerahkan pelbagai lagi bentuk peralatan perubatan kepada kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Wisma Putra.

Ia termasuk kit ujian antigen yang diterima 30 Mac lalu selain 20,000 unit kit ujian RT PCR, 37,000 unit kit ujian IgC IgM, 20,000 unit Viral Transport Medium Swab dan satu unit Automated Extraction Machine.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!