Tiga langkah penting untuk bantu industri media

Hussamuddin Yaacub - Foto Rosli Talib
Hussamuddin Yaacub - Foto Rosli Talib
A
A
A

KERAJAAN Malaysia disaran agar melaksanakan tiga langkah penting untuk membantu industri media tempatan yang semakin terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19) dan kegawatan ekonomi ketika ini.

Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, langkah pertama yang perlu dilaksanakan kerajaan adalah memaksa gergasi media sosial antarabangsa seperti Google dan Facebook membayar penggunaan kandungan media dan berita.

Beliau berkata, langkah itu cuba dilakukan kerajaan Australia dalam memastikan syarikat teknologi utama dunia itu berkongsi pendapatan iklan yang menguntungkan dengan media tradisional.

“Kerajaan kena gubal satu undang-undang sebagaimana diusahakan olah kerajaan Australia bagi memaksa Facebook, Google dan Twitter membayar balik kandungan dan berita terbitan syarikat media di Malaysia yang digunakan oleh platform syarikat gergasi dunia itu.

“Selama ini, kita banyak menyalurkan kandungan berita sebagai sumber utama kepada dua syarikat itu, namun tidak menerima hasil pendapatan setimpal. Kerajaan perlu masuk campur mempertahankan hak pemain industri media perdana di Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya yang menyarankan kerajaan segera menyalurkan bantuan kepada industri media tempatan yang terkesan teruk akibat ‘gangguan’ teknologi digital dan ancaman Covid-19.

Chamil turut menggesa kerajaan agar tidak menganaktirikan industri media dan segera menyalurkan bantuan secara tidak langsung menerusi perbelanjaan pengiklanan.

Konsisten

Hussamuddin menegaskan, langkah kedua pula ialah kerajaan harus mengambil inisiatif membeli ruang pengiklanan secara konsisten melalui media-media arus perdana.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, iklan-iklan kerajaan bagi mempromosi kempen-kempen awam haruslah disiarkan dalam akhbar-akhbar cetak dan stesen penyiaran televisyen yang terbukti kredibilitinya di samping tidak terlalu tertumpu kepada segmen media sosial.

Kerajaan perlu masuk campur mempertahankan hak pemain industri media perdana di Malaysia,” katanya

“Sebenarnya bila fokus pengiklanan kepada media dalam talian (online) terlampau banyak, objektif kerajaan masih tidak sampai kerana masih ada segmen masyarakat di negara ini yang kekal menjadikan akhbar cetak sebagai wadah penyebaran maklumat utama.

“Kerajaan harus terus mendukung industri media di negara ini kerana kemampuan media konvensional menyalurkan berita benar serta menghindari penyebaran 'fake news' amat penting dalam membentuk kerangka pemikiran positif rakyat.

“Ditambah kesan ekonomi yang lebih dahsyat akibat Covid-19, pembelian ruang iklan perlu diteruskan kerajaan kepada setiap media arus perdana berkualiti untuk sekurang-kurangnya menampung kos operasi syarikat penerbitan media terbabit. Saya percaya kerajaan masih ada peruntukan bagi tujuan itu,” katanya.

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf yang telah membina syarikat media itu sejak 43 tahun lalu mengakui, laporan media arus perdana kadangkala bersifat kritikal terhadap kerajaan, namun ia bukan isu kerana media arus perdana hanya menyiarkan kritikan berasas.

“Lebih-lebih lagi dalam saat kerajaan sedang berusaha keras memerangi penularan berita palsu dalam kalangan rakyat, peranan industri media arus perdana sangat penting untuk membantu merealisasikannya.

“Ini kerana media arus perdana mengikut etika kewartawanan yang tinggi berbanding media online yang tidak dimiliki sebuah organisasi media berlesen,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19 jerut industri akhbar

Industri media perlu suntikan dana kerajaan

Industri media ibarat ‘pesakit Covid-19’

Tegas beliau, langkah terakhir yang perlu dipertimbangkan kerajaan untuk membela nasib industri media tempatan adalah keperluan undang-undang mewajibkan mana-mana portal media yang baru diwujudkan untuk mendapatkan lesen penerbitan.

“Inisiatif itu penting sebagai langkah kawalan daripada pihak kerajaan supaya penyebaran berita palsu, berita diplagiat oleh portal berita daripada pemain media arus perdana serta berita tidak dapat dibuktikan kesahihan sumber dapat dihindarkan sepenuhnya,” kata beliau.

Sementara itu, Chamil ketika dihubungi Sinar Harian menyatakan sejumlah 75 akhbar harian tempatan memiliki permit penerbitan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini.

Bagaimanapun, angka itu dikeluarkan KDN sebelum beberapa akhbar harian ditutup sejak tahun lalu seperti Portal Malaysian Digest, Utusan Malaysia, Kosmo, syarikat penerbitan majalah Blu Inc Media, edisi hari minggu akhbar bahasa Cina, Malay Mail dan Tamil Nesan.