Isu etika dan keabsahan kerajaan

A
A
A

“KAMI tidak mengiktiraf kerajaan hari ini. Prinsip kami jelas dari hari pertama kerajaan ini tertubuh, iaitu ia berdiri tanpa mandat rakyat. Ia tidak diperoleh secara sah menurut kertas undi dalam pilihan raya.” Itu adalah keratan kenyataan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyatakan bahawa kerajaan di Malaysia hari ini bukan kerajaan pilihan rakyat.

Setelah kenyataan bersama itu dikeluarkan, maka timbullah suara-suara yang mengatakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini tidak sah, malah ada segelintir masyarakat yang mengatakan ia tidak sah kerana tidak mengikut lunas undang-undang yang sebenar iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Saya berpendapat bahawa tindakan Dr Mahathir dan Anwar untuk tidak mengiktiraf kerajaan hari ini bukanlah bermaksud kerajaan hari ini tidak sah. Ia hanyalah satu percaturan politik yang biasa dibuat oleh ramai politikus dunia dalam meyakinkan rakyat bahawa kerajaan yang tertubuh bukanlah kerajaan yang dikehendaki.

Melihat kenyataan bersama tersebut, saya merasakan tiada apa yang salah. Dr Mahathir dan Anwar tidak langsung mengatakan bahawa kerajaan hari ini tidak sah dari segi undang-undang, cuma mereka enggan mengiktirafnya sahaja.

Namun, saya merasakan amat perlu untuk orang awam diberikan penerangan dan dijelaskan bahawa berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, penubuhan kerajaan PN adalah sah di sisi undang-undang walaupun ia dikatakan ditubuh secara ‘pintu belakang’.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menjalankan tanggungjawab dan kebijaksanaan Baginda seperti yang telah diperuntukkan dalam Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan bahawa Seri Paduka boleh bertindak menurut budi bicara dalam melantik seorang Perdana Menteri.

Dalam menjalankan tanggungjawab Seri Paduka, semua ahli Dewan Rakyat dipanggil untuk mendapatkan sendiri jawapan daripada mereka mengenai siapa yang paling mendapat kepercayaan mereka untuk menjadi Perdana Menteri.

Lantas, untuk mengatakan bahawa pembentukan kerajaan hari ini sebagai tidak sah adalah salah sama sekali, namun ia tidak bermaksud pembentukan kerajaan hari ini sebagai beretika. Jika hendak dilihat dari aspek etika, sudah tentu ia harus dilihat sebagai kurang beretika kerana telah mencemar mandat rakyat pada pilihan raya lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, ini tidak bermaksud pelantikan Perdana Menteri tidak boleh dicabar. Dalam negara demokrasi seperti Malaysia, sudah tentu ada caranya untuk mencabar pelantikan Perdana Menteri dan ia sama sekali tidak bermaksud kita mencabar kuasa Seri Paduka.

Perkara 43(4) menetapkan bahawa jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan atau meminta agar Parlimen dibubarkan.

Baru-baru ini, Dr Mahathir telah menggunakan hak di bawah Perkara 43(4) dalam membuat usul tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Sekali lagi kita akan dapat menyaksikan sama ada pergolakan politik akan kembali ‘memeriahkan’ suasana politik di negara ini.

Sejak pilihan raya lalu, boleh dikatakan ada dua pengajaran utama yang perlu diambil oleh para politikus di negara. Pertama, rakyat Malaysia semakin bijak dalam menggunakan kuasa mereka ketika pilihan raya. Mana-mana kerajaan yang tidak menjalankan tugas dengan baik boleh dijatuhkan oleh rakyat melalui pilihan raya.

Kedua, kerajaan campuran adalah kerajaan yang tidak stabil. Bila-bila masa sahaja kerajaan boleh bertukar tangan apabila ada yang berpaling tadah daripada pakatan masing-masing.

Dalam pada mengejar kuasa dan hak masing-masing, harus diingatkan kepada para politikus di negara ini bahawa kita masih belum menang dalam melawan pandemik Covid-19. Jangan kerana kuasa, akhirnya negara kembali dirundung malang dengan peningkatan jangkitan virus jahat itu.

* Haeme Hashim ialah peguam di Tetuan Haeme Lew, Kuala Lumpur