Ini punca Tun M lepas jawatan PM, Pengerusi PH...

Paparan skrin video penjelasan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dimuat naik di laman sosial miliknya hari ini.
Paparan skrin video penjelasan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dimuat naik di laman sosial miliknya hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Hilang kepercayaan terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi faktor Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

Menerusi paparan video yang dimuat naik di Twitter dan Facebooknya hari ini, Dr Mahathir mendakwa, kepimpinan parti itu membuat keputusan bertentangan dengan nasihatnya.

Dr Mahathir berkata, cadangan parti supaya Bersatu keluar daripada PH tidak ada asas yang baik kerana beliau disokong sepenuhnya oleh PH ketika mesyuarat PH pada Jumaat 21 Februari yang meluluskan bahawa beliau bebas menentukan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri.

"Apabila keputusan itu dibuat dan saya mendapat sokongan sepenuhnya daripada Pakatan Harapan. Saya beritahu kepada (Presiden Bersatu, Tan Sri) Muhyiddin (Yassin).

"Jadi, apa sebabnya saya hendak keluar daripada Pakatan Harapan. Kalau ada sebab-sebab lain tunggulah, kalau ada sebab lain (itu) saya akan keluar daripada Pakatan Harapan," katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, permintaan supaya Bersatu kekal dalam PH ditolak Presiden Bersatu yang berpendapat bahawa parti itu perlu mengambil tindakan keluar daripada PH.

"Katanya (Muhyiddin), kalau tak keluar maka orang Melayu akan hancur, akan dihancurkan oleh DAP. Saya tidak yakin DAP dengan begitu mudah boleh menghancurkan orang Melayu.

"Sebab itu saya berkata, tunggulah kita ambil masa sedikit. Fikir mendalam dengan tindakan keluar daripada Pakatan Harapan," katanya melalui paparan video di blognya itu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, PH adalah perikatan yang dipilih rakyat dan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menurutnya lagi, Bersatu bersama PH dan dengan sokongan gabungan itu, Bersatu mendapat kemenangan dalam pilihan raya berkenaan.

"Takkan tiba-tiba kita hendak tolak dan bekerjasama dengan parti yang kalah (UMNO). Parti yang terlibat dengan rasuah, dengan pencurian wang dan lain lain.

"Kita tolak parti kita dan masuk dengan parti yang kalah ini dan parti ini yang dipengerusikan oleh (Datuk Seri) Najib Razak akan menjadi kerajaan.

"Mereka (Bersatu) tidak peduli pendapat saya. Mereka keluar daripada Pakatan Harapan. Saya fikir dengan mendalam dan saya fikir kalau dah parti saya tolak saya, maka saya perlu lepaskan jawatan saya.

"Saya kembali menjadi Pengerusi Bersatu tetapi tidaklah menjadi Pengerusi Pakatan Harapan. Kita sudah keluar daripada Pakatan Harapan dan Pakatan Harapan pun sudah jatuh akibat daripada kita keluar Pakatan Harapan," katanya.