Utamakan parti, henti pesong fakta untuk kepentingan peribadi

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan
A
A
A

ALOR SETAR - Individu yang menjadi ejen pemecah belah parti diminta menghentikan segera perbuatan memesongkan fakta untuk kepentingan peribadi.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan berkata, sebaliknya semua pihak wajar kembali menyatukan semula parti dengan amanah dan disiplin, berdasarkan matlamat penubuhan parti kerana matlamat parti adalah lebih besar berbanding mana-mana individu yang mungkin boleh melakukan kesilapan.

"Cukup-cukuplah pesongkan fakta. Saya cadangkan mohon maaf secara terbuka kerana menjadi ejen memecah belah parti," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Wan Saiful mengulas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Dr Mohd Radzi Md Jidin kelmarin, yang menangkis dakwaan Datuk Marzuki Yahya yang mendakwa MPT parti itu tidak membuat keputusan meninggalkan gabungan Pakatan Harapan (PH).

Mohd Radzi menyatakan Marzuki bukan lagi Setiausaha Agung parti, selain menyatakan MPT Bersatu dalam mesyuarat 23 Februari lalu membuat keputusan jelas untuk keluar PH dan membentuk gabungan politik baharu dengan parti lain.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, mana-mana ahli MPT yang menafikan mesyuarat MPT Bersatu telah memutuskan keluar PH sebagai cubaan menipu ahli parti dan mengkhianati amanah sebagai ahli MPT.

"Kamu adalah penyebab parti kita berpecah. Berhentilah," katanya.

Menurut beliau, kemelut dalaman Bersatu tidak boleh dilihat dalam acuan taksub pemimpin.

Artikel Berkaitan:

"Ini bukan isu kita orang Tun Dr Mahathir Mohamad atau kem Tan Sri Muhyiddin Yassin, kita perlu jadi 'orang parti' yang mahu menjaga parti lebih dari menjaga individu," katanya.

Tambah Wan Saiful, apabila meletakkan parti sebagai keutamaan, fakta akan dijadikan sebagai asas keputusan, bukan ketaksuban kepada individu.

"Pegangan kita adalah parti, bukan individu sama ada Dr Mahathir atau Muhyiddin atau Datuk Seri Mukhriz Mahathir," katanya.

Menurutnya, keputusan mesyuarat MPT pada 23 Februari lalu adalah untuk keluar daripada PH dan membentuk gabungan baru.

"Tarikh pengumuman keputusan diserahkan kepada Pengerusi parti, itu sahaja. Tetapi keputusan untuk keluar PH adalah muktamad," katanya.

Wan Saiful berkata, apabila Dr Mahathir meletak jawatan pada 24 Februari, Muhyiddin melaksanakan tanggung jawab sebagai pemangku Pengerusi dan mengumumkan keputusan dicapai MPT sehari sebelumnya.

"Jika pengumuman itu tidak dibuat, kerusi Perdana Menteri akan hilang dari Bersatu. Peletakan jawatan Dr Mahathir memaksa pengumuman itu dibuat serta merta demi kepentingan parti.

Selepas keputusan majoriti MPT dibuat pada 23 Februari, tiada lagi pandangan individu jika mahu kekal dalam MPT. Itu prinsip asas 'collective responsibility'," katanya.

Menurutnya, dari segi adab berorganisasi, apabila mesyuarat membuat keputusan, semua ahlinya mesti menyokong keputusan kolektif apabila bercakap di luar mesyuarat.

"Mereka yang tidak bersetuju perlu meletak jawatan, saya hormati sikap Dr Mahathir yang meletak jawatan Pengerusi.

Keputusan keluar PH diumumkan sendiri oleh Marzuki sebaik sahaja selepas mesyuarat MPT pada 24 Februari lalu," katanya.

Tambahnya, Dr Mahathir juga menyatakan dengan jelas bahawa MPT Bersatu telah putuskan keluar PH.

"MPT Bersatu pernah berpecah lebih teruk semasa berdebat isu sistem "Satu Ahli Satu Undi". Pada ketika itu, MPT terbelah dua, usul itu menang hanya dengan kelebihan satu undi. Kumpulan besar MPT yang kalah undi itu tidak menipu ahli sehingga memecah belah parti.

"Sebaliknya bekerjasama pastikan ia dapat dilaksanakan, walaupun pada mulanya mereka bantah," katanya.

Menurutnya, disiplin dan berjiwa besar seperti inilah yang harus ada dengan mengetepikan pandangan peribadi dan menyokong keputusan majoriti.