Sektor perkhidmatan dijangka merosot 38.6 peratus semasa PKP

Jabatan Perangkaan Malaysia
Jabatan Perangkaan Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Magnitud kejatuhan hasil sektor perkhidmatan dijangka merosot 38.6 peratus dengan hasil yang dijana berjumlah RM83.29 bilion sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac hingga 28 April 2020.

Menurut Jabatan Perangkaan, sektor perkhidmatan merangkumi subsektor perdagangan borong dan runcit, maklumat dan komunikasi, pengangkutan dan penyimpanan, makanan dan minuman, profesional, kesihatan swasta, pendidikan swasta, penginapan, kesenian, hiburan & rekreasi, ejen hartanah, pentadbiran dan khidmat sokongan serta perkhidmatan lain.

Menerusi buletin Siri 16: Kajian Impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada Sektor Perkhidmatan di Malaysia yang dikeluarkan hari ini, jabatan itu menyatakan subsektor perdagangan borong dan runcit mencatatkan hasil tertinggi RM63.5 bilion, namun dengan kemerosotan 36.6 peratus.

“Selain itu, perdagangan borong dijangka merekodkan hasil RM34.77 bilion dengan penurunan 28.2 peratus, diikuti perdagangan runcit, RM27.76 bilion (-32.4 peratus) dan kenderaan bermotor RM0.97 bilion (-90.9 peratus),” katanya.

Subsektor pengangkutan dan penyimpanan pula dijangka mencatat hasil RM2.66 bilion dengan kemerosotan 69.9 peratus, manakala subsektor pendidikan swasta pula dijangka merekodkan hasil RM1.57 bilion (-2.4 peratus).

Bagaimanapun, subsektor maklumat dan komunikasi dijangka meningkat 2.0 peratus dengan menjana hasil RM11.92 bilion, menurut Jabatan Perangkaan.

Sektor perkhidmatan adalah sektor ekonomi yang terbesar di Malaysia dengan sumbangan 56.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) atau RM771.9 bilion pada 2018.

Menurut Jabatan Perangkaan, hanya perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP dan menurutnya penutupan sebahagian besar premis swasta ini telah memberi kesan kepada ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

Subsektor perkhidmatan yang beroperasi semasa fasa pertama PKP iaitu mulai 18 hingga 31 Mac, 2020 dan fasa kedua mulai 1 hingga 14 April, 2020 adalah maklumat dan komunikasi, pengangkutan dan penyimpanan, kewangan, kesihatan, makanan dan minuman serta penginapan, perdagangan borong dan runcit dan perkhidmatan utiliti.

Menurut Jabatan Perangkaan, kerajaan masih dalam penelitian untuk menambah beberapa aktiviti ekonomi untuk beroperasi bagi PKP fasa ketiga bagi tempoh 15 hingga 28 April. - Bernama