Peluncur maut diserang jerung di pantai California

Kru penyelamat tiba di pesisiran pantai sejurus selepas kejadian dengan kenderaan polis dan ambulans.
Kru penyelamat tiba di pesisiran pantai sejurus selepas kejadian dengan kenderaan polis dan ambulans.
A
A
A

SACRAMENTO - Tindakan seorang lelaki melanggar perintah berkurung untuk pergi meluncur di sebuah pantai di utara California membawa padah apabila dia ditemui mati akibat diserang jerung.

Pihak berkuasa Santa Cruz berkata, lelaki berusia 26 tahun yang namanya tidak didedahkan itu dipercayai diserang sekitar jam 1.30 tengah hari (waktu tempatan) 100 meter dari pantai Sand Dollar.

Katanya, pantai itu ditutup setiap hari dari jam 11 pagi hingga 5 petang (waktu tempatan) berikutan wabak pandemik koronavirus (Covid-19).

Bagaimanapun, garis panduan telah membenarkan penduduk tempatan menggunakan pantai itu pada waktu lain tetapi hanya aktiviti seperti meluncur air, berjoging dan berenang dibenarkan.

Dalam pada itu, Jabatan Taman Negara California berkata, spesis jerung yang menyerang lelaki terbabit masih belum dikenal pasti.

Mengikuti protokol taman negara, perairan sejauh 1.6 kilometer di selatan dan utara lokasi kejadian akan ditutup selama lima hari dan tidak akan dibuka semula sehingga Khamis.

Selain itu, papan tanda yang memberi amaran kepada pengunjung pantai mengenai serangan jerung dipasang di pintu masuk dalam radius 1.6 kilometer dari lokasi kejadian itu.

Sebuah stesen berita tempatan menggambarkan perairan itu sebagai 'taman jerung' kerana kejadian itu merupakan serangan yang ketiga berlaku di utara California sejak 1984 ketika seorang lelaki berusia 28 tahun diserang jerung putih bersaiz 4.48 meter di Pigeon Point.

Artikel Berkaitan:

Pada 2004, seekor jerung putih bersaiz 5.18 meter membunuh penyelam berhampiran Kibeseliah Rock di Mendocino. - Agensi