Ada pihak cuba lagakan Pas Kedah dengan Istana, LZNK

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Pas Kedah menyifatkan cubaan untuk mengaitkan parti itu dengan kutipan zakat berdasarkan beberapa gambar surat yang ditularkan adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, isu berkenaan sengaja dicetuskan pihak tertentu yang cuba mengeruhkan hubungan baik Pas dengan pihak istana.

Beliau yang juga Yang Dipertua Pas kawasan Sik berkata, parti itu mahupun Pas kawasan Sik tidak pernah mengeluarkan sebarang surat atau arahan lisan dan bertulis yang dikaitkan dengan kutipan zakat seperti tular di Facebook.

"Tandatangan saya pada surat berkenaan adalah palsu. Mungkin ditampal menggunakan aplikasi tertentu kerana saya tidak pernah tandatangani surat itu.

"Kita kesal ada cubaan sebegini untuk melaga-lagakan Pas dengan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK)," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Amanah Kedah pertikai Pas kutip zakat

Menurutnya, selepas Pas Kedah menyatakan kesediaan untuk mengambil alih kerajaan Kedah susulan kepincangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah, isu berkenaan seolah sengaja dibangkitkan untuk jejaskan nama baik parti itu.

"Lazimnya Pas mengarahkan kutipan derma kalangan ahli sama ada kutipan derma wajib tahunan atau sumbangan lain dari masa ke masa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor

Muhammad Sanusi berkata, setiap kutipan derma atau infak kalangan ahli Pas di kawasan Sik biasanya dibuat pengagihan berdasarkan peratusan tertentu untuk memberi galakan dan motivasi kepada cawangan parti dan pengutip yang dipertanggungjawabkan.

Sebelum ini, beberapa surat berkaitan tular dan mendapat kecaman banyak pihak termasuk Parti Amanah Negara (Amanah) yang mahu Pas tampil memperjelaskan situasi sebenar.