Pas belum putuskan siapa calon MB Kedah

Samsuri (tengah) enggan mengulas panjang ketika ditemui media di Kompleks Pas Kedah hari ini.
Samsuri (tengah) enggan mengulas panjang ketika ditemui media di Kompleks Pas Kedah hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kepimpinan Pas masih belum bersedia memutuskan siapa calon Menteri Besar Kedah selepas mengadakan perjumpaan bersama 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pas dan dua ADUN dari UMNO di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut hari ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagaimanapun secara berseloroh kepada media berkata, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dari Bersatu campur Pakatan Harapan (PH) masih lagi mengetuai kepimpinan kerajaan Kedah setakat ini.

Menurutnya, Pas menyerahkan kepada kebijaksanaan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah untuk memilih calon Menteri Besar negeri ini namun beliau tidak mendedahkan bila pertemuan akan diadakan.

"Kita bincang macam-macam perkara. (tentang) Isu Menteri Besar, benda yang spesifik ini payah hendak keluar kenyataan setakat ini," katanya kepada media ketika diminta mengulas tentang khabar angin mengenai pertukaran kerajaan Kedah.

Sementara itu, reaksi positif turut diberikan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang mengesahkan mengadakan pertemuan dengan 17 ADUN termasuk membincangkan tentang urusan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, beliau tidak mahu mengulas panjang tentang mesyuarat tersebut yang berlangsung kira-kira selama tiga jam.

"Itu atas Sultan," katanya ringkas ketika diminta mengulas berhubung calon Menteri Besar baharu Kedah.

Reaksi sama ditunjukkan oleh Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahaya namun menjelaskan satu kenyataan akan dikeluarkan oleh pihaknya apabila tiba waktunya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Ahmad pada Rabu lalu menyatakan keyakinan parti itu untuk mengetuai pentadbiran Kedah daripada kerajaan PH campur Bersatu yang kini dipimpin Mukhriz.

Menurutnya, perpecahan kini dapat dilihat dalam gabungan PH Kedah apabila ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee secara terbuka mempertikaikan keputusan pemecatan timbalannya di Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sungai Petani yang membuktikan beliau tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan PH.

Katanya, bakal ada beberapa lagi ADUN PKR lain yang akan mengikuti langkah Dr Robert sekaligus menyaksikan pengurangan jumlah kerusi penguasaan PH di Kedah.