Kumpulan terakhir Ops Balik Kampung pulang malam tadi

Dr Hendrik (kiri) meninjau keadaan bas yang akan menghantar pulang pelajar ke zon tengah malam tadi.
Dr Hendrik (kiri) meninjau keadaan bas yang akan menghantar pulang pelajar ke zon tengah malam tadi.
A
A
A

SINTOK - Seramai 900 pelajar yang merupakan kumpulan terakhir Ops Balik Kampung bagi negeri di seluruh semenanjung telah dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing pada malam tadi.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr Hendrik Lamsali berkata, jumlah tersebut merangkumi pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) termasuk dari institut pengajian tinggi (IPT) lain yang telah dihantar pulang ke kawasan zon tengah iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor dengan menaiki 56 bas.

Menurutnya, pergerakan pada malam tadi juga merupakan pergerakan kedua paling besar selepas pergerakan ke zon timur pada 2 Mei lalu.

“Alhamdulillah, setakat ini tiada masalah yang dihadapi oleh pihak UUM sepanjang menjadi Ketua Zon Utara yang bertanggungjawab merancang, mengatur dan menyelaras penghantaran pulang pelajar universiti di zon ini.

“Segala kemudahan sepanjang proses ini banyak dibantu oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memastikan keselamatan kesemua pelajar terjamin ketika negara dilanda penularan Covid-19,” katanya menerusi suatu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, penghantaran pulang pelajar yang terakhir akan melibatkan negeri Sabah dan Sarawak mulai hari ini.

Sehingga kumpulan ketujuh semalam, UUM telah menghantar pulang lebih 3,000 pelajar bermula ke zon tengah diikuti zon utara, zon timur, zon tengah (Perak), zon tengah dan zon selatan.

Artikel Berkaitan: