Amanah Kedah pertikai Pas kutip zakat

Surat yang tular di media sosial.
Surat yang tular di media sosial.
A
A
A

ALOR SETAR - Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah mempertikaikan tindakan Pas Kedah yang mengarahkan ahlinya mengutip zakat menggunakan nama 'infaq: wajib Ramadan', oleh amil yang dilantik Pas kawasan masing-masing.

Pengarah Biro Pembangunan Sumber Manusia Amanah Kedah, Ridzwan Abu Bakar berkata, pihaknya mempersoal sama ada bayaran tersebut adalah zakat fitrah namun berselindung bawah nama berbeza.

Ridzwan Abu Bakar
Ridzwan Abu Bakar

"Jika ia merujuk kepada bayaran zakat, parti politik itu tidak berhak menerima bayaran daripada orang ramai kerana tidak mendapat keizinan daripada kerajaan negeri, terutamanya Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

“Jika ia bukan zakat fitrah, apa yang dimaksudkan dengan wajib dikutip? Adakah ia kewajipan syarak atau parti?," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beberapa gambar berkaitan didedahkan dan tular di media sosial, antaranya watikah pelantikan dan surat arahan daripada parti berhubung perkara itu.

Dipercayai surat tersebut dikeluarkan sebagai edaran kepada Pas cawangan berkaitan infaq yang dikutip pada bulan Ramadan ini.

Ridzwan berkata, pihaknya mahu parti itu tampil memperjelaskan kenapa diletakkan Pas sebagai asnaf fi sabilillah.

Artikel Berkaitan:

"Kenapa kadar itu bersamaan dengan kadar yang diputuskan oleh LZNK? Kenapa perlu dikirakan dengan 'kepala' sehingga ditegaskan 1/3 daripada keluarga, seperti tertera pada surat arahan parti itu," katanya.

Menurutnya, pihaknya turut kesal apabila terdapat pembahagian peratusan kutipan antara tiga pihak, iaitu pemungut (amil yang dilantik) dan Pas cawangan sebanyak 15 peratus masing-masing, manakala 70 peratus kepada Pas kawasan.

"Dalam konteks manakah dan siapakah pihak bertanggungjawab yang mengeluarkan fatwa sebegitu, sehingga dalam surat terbabit dinyatakan Majlis Syura Pas telah memutuskan Pas termasuk dalam asnaf fi Sabilillah?" soalnya.

Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas Pas Kedah berhubung perkara ini.