22 ahli sindiket judi dalam talian diberkas

PDRM
PDRM
A
A
A

PETALING JAYA - Seramai 22 individu warga China yang dipercayai terlibat dengan sindiket judi dalam talian diberkas di sebuah premis di Ara Damansara, Petaling Jaya hari ini.

Pegawai Turus Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Deputi Superintendan Azmi Syukor berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 20 lelaki dan dua wanita berusia 24 hingga 35 tahun.

"Siasatan awal mendapati mereka menerima upah RM3,000 sebulan dengan mensasarkan mangsa dari China.

"Mereka tidur, makan dan bekerja di premis itu bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Azmi berkata, sindiket itu baharu beroperasi selama dua bulan dengan waktu kerja mereka adalah 24 jam dan dibahagi kepada dua syif.

"Premis itu disewa RM2,000 sebulan dengan dilengkapi kad akses untuk masuk ke bangunan," katanya.

Beliau berkata, serbuan pada jam 12 tengah hari itu membabitkan empat pegawai dan 20 anggota polis.

"Kita turut merampas dua komputer dan 85 telefon bimbit yang mana siasatan mendapati mereka memperoleh RM150,000 sehari hasil penipuan judi dalam talian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kesemua individu yang ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a), (c) dan (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1969.