World #QuranHour langkah berbaloi: Dr Zulkifli

Dr Zulkifli (tengah) ketika ditemu bual Ahmad Yani di studio TV Alhijrah hari ini. - Foto MOHD IZARI ROSLI
Dr Zulkifli (tengah) ketika ditemu bual Ahmad Yani di studio TV Alhijrah hari ini. - Foto MOHD IZARI ROSLI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan program World #QuranHour pada 13 Mei ini adalah satu langkah berbaloi, patut dan munasabah dalam usaha menjadikan al-Quran sejuzuk daripada akhlak masyarakat dan umat Islam negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, program World #QuranHour juga adalah satu usaha baik untuk membudayakan al-Quran dalam kalangan masyarakat Malaysia sejak lima tahun lalu di samping memaknakan sebuah kehidupan.

Menurutnya, antara kelemahan ummah adalah apabila mereka meninggalkan al-Quran, lebih-lebih lagi manusia di akhir zaman yang cuba menghijrahkan diri daripada al-Quran.

"Program World #QuranHour yang dilakukan sejak lima tahun lalu bagi saya satu usaha yang amat berbaloi, patut serta munasabah.

"Kita mahukan (sifat murni) dalam al-Quran menjadi sejuzuk daripada akhlak kita, sebagaimana hadis Saidatina Aisyah RA bermaksud 'adalah akhlak Nabi Rasulullah SAW itu al-Quran'.

"Antara kelemahan ummah adalah apabila mereka meninggalkan al-Quran dan sebagaimana bekas Perdana Menteri Britain, William Ewart Gladstone berkata suatu ketika dahulu sambil memegang naskhah al-Quran, 'Kalaulah umat Islam masih berpegang kepada kitab ini, kita akan sukar untuk mengalahkan mereka'," katanya pada sidang media di studio TV Alhijrah di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris dan Ahli Lembaga Yayasan Warisan Ummah IKhlas, Ahmad Yani Abd Manaf.

Dr Zulkifli berkata, hadis Saidatina Aisyah RA itu juga menjadi tonggak utama dalam pelaksanaan program World #QuranHour ini bagi menjinakkan umat Islam dengan al-Quran dan seterusnya menyebabkan mereka rajin membacanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, umat Islam juga digalakkan untuk cuba memahami al-Quran dengan cara tadabbur dan tafsirnya disusuli usaha penghayatan al-Quran untuk memaknakan kalam ALLAH itu dalam kehidupan mereka.

"Siapa baca al-Quran, tengok walau satu ayat al-Quran, maka kita boleh rujuk kepada sunnah Nabi SAW, boleh tengok bacaan Nabi, percakapan Nabi, suara Nabi serta interaksi Rasulullah SAW dengan para sahabat.

Dr Zulkifli (tengah) menyokong pelaksanaan program World #QuranHour pada 13 Mei ini. Turut kelihatan Ahmad Yani (kiri) dan Namanzee. - Foto MOHD IZARI ROSLI
Dr Zulkifli (tengah) menyokong pelaksanaan program World #QuranHour pada 13 Mei ini. Turut kelihatan Ahmad Yani (kiri) dan Namanzee. - Foto MOHD IZARI ROSLI

"Segala sunnah tersebut adalah contoh puncak akhlak manusia paling unggul, cukup harmoni dan cukup baik," katanya.

Dr Zulkifli turut menegaskan pemilihan Surah Ar-Rahman sebagai tema perbincangan program World #QuranHour adalah bertepatan memandangkan surah itu cukup menarik kerana dinamakan bersempena dengan sifat ALLAH cukup hebat iaitu Ar-Rahman.

Menurutnya, rangkuman perbicaraan berkenaan al-Quran dalam Surah Ar-Rahman menggambarkan kepada manusia betapa sifat ALLAH iaitu Ar-Rahman dijelmakan kepada manusia sebagai khalifah ALLAH di muka bumi ini.

"Dan ia juga dipandukan dengan kedatangan Rasulullah SAW yang membawa al-Quran sebagai petunjuk, menjadi petunjuk kepada manusia dan keterangan-keterangan daripada petunjuk dan yang juga pembezaan antara kebatilan dan kebenaran.

"Tidak cukup dengan itu, al-Quran dinyatakan Rasulullah SAW mempunyai terlalu banyak kelebihan mukjizat yang menjadi perlembagaan dalam hidup manusia, dengan Rasulullah SAW yang telah menyampaikan al-Quran tanpa syak dan ragu-ragu bagi membimbing dan memanualkan manusia dalam bentuk manual kehidupan lebih baik," katanya.

Dr Zulkifli juga menjelaskan santunan daripada Surah Ar-Rahman mengajar kepada manusia untuk lebih mensyukuri nikmat ALLAH SWT, lebih-lebih lagi bila dikaitkan realisasi kehidupan umat Islam dengan pandemik koronavirus (Covid-19) ketika ini.

"Dengan sebab ALLAH kurniakan kepada kita dengan berbagai nikmat dan kurniaan, maka kesyukuran menjadi perkara utama.

"Kita boleh menangani Covid-19 dengan cukup baik, baik menerusi akal diberi, rezeki dikurniakan, pengurusan yang baik, good governance, kerjasama ta'awun yang tinggi, hikmah kebersamaan yang wujud serta bantuan dari berbagai bentuk.

"Ini menunjukkan apabila kita kaji betul-betul, kesyukuran kepada ALLAH yang kita dambakan dalam kehidupan kita, insya-ALLAH," katanya.

Dr Zulkifli turut berharap satu jam diperuntukkan untuk program World #QuranHour ini bukan semata-mata dianjurkan pada bulan Ramadan, tetapi juga kepada apa-apa waktu sesuai untuk mendekatkan khalayak masyarakat dan umat Islam dengan al-Quran.

"Saya ucapkan syabas kepada semua pihak yang menjayakannya seperti Karangkraf, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), TV Alhijrah, Bernama TV, Astro Oasis dan sebagainya.

"Inisiatif ini sebenarnya telah memberi satu isyarat baik untuk kita kembali memartabatkan syiar Islam melalui pembacaan, pembudayaan, pengamatan dan penghayatan al-Quran untuk difahami ummah dengan sebaik-baiknya," katanya.

World #QuranHour edisi kelima akan berlangsung sentak seluruh dunia pada 20 Ramadan 1441H bersamaan 13 Mei 2020 dengan membawa misi Surah Ar-Rahman (55:1-78) sebagai solusi mengembalikan keharmonian global “Reboot Global Harmony”.

Melalui program itu, semua pihak terlibat di seluruh dunia akan menghentikan aktiviti lain dan membaca al-Quran serta memahaminya melalui tadabbur selama sejam dari jam 12 tengah hari hingga 1 petang pada hari berkenaan.