X

Kindly register in order to view this article
!

Cuepacs mahu isu elaun khas 'frontliners' diselesaikan segera

Cuepacs
A
A

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meluahkan kekecewaan kerana isu pembayaran elaun petugas barisan hadapan koronavirus (Covid-19) yang dibangkitkan sebelum ini tidak mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, merujuk kepada laporan dikeluarkan Sinar Harian hari ini berkenaan luahan hati petugas Kementerian Kesihatan (KKM), pihaknya menggesa kementerian itu melonggarkan kerenah birokrasi yang merumitkan proses tuntutan selain tidak menidakkan kelayakan petugas yang sepatutnya berhak menerima elaun tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kami bukan tidak bersyukur...'

"Cuepacs menggesa satu perjumpaan atau perbincangan dapat diadakan melibatkan pengurusan tertinggi KKM bersama dengan wakil-wakil kesatuan, wakil pekerja serta Cuepacs sendiri bagi menyelesaikan isu tuntutan elaun Covid-19.

"Cuepacs berpandangan perbincangan dua hala antara majikan dan pekerja dapat menyelesaikan isu ini secara total tanpa perkara berbangkit di kemudian hari," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Cuepacs berharap KKM dapat meneliti dan membuat pertimbangan sewajarnya bagi memudahkan kaedah pembayaran elaun Covid-19.

"Perlu diingatkan ada petugas yang ditempatkan di lapangan masing-masing tidak dibenarkan balik berminggu-minggu, cuti dibekukan, syif kerja yang membebankan dan sehingga kini tidak dibenarkan mengambil cuti," katanya.

Selain itu, Cuepacs juga menggesa agensi dan jabatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), imigresen, kastam dan lain-lain turut sama meneliti dan memudahkan urusan pembayaran elaun khas yang diterima untuk petugas barisan hadapan mereka.

"Elaun yang diberikan kerajaan adalah suntikan semangat kepada petugas barisan hadapan. Janganlah kita lunturkan semangat dengan kerenah birokrasi yang dicipta sendiri.

"Penjawat awam kekal dengan mantera Berkhidmat Untuk Negara demi keharmonian dan kemakmuran rakyat," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!