X

Kindly register in order to view this article
!

Bawa usul penjara pemandu mabuk: Noh

Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar (kiri) bersama Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi ketika sidang akhbar Muafakat Nasional di Bangunan Umno Selangor hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar bersedia untuk membawa usul mengenai hukuman kepada pemandu mabuk dalam sesi sidang Parlimen akan datang.

Noh berkata, pemandu mabuk wajar dikenakan hukuman yang tegas termasuk penjara mandatori.

"Saya akan usulkan perkara ini (hukuman tegas kepada pemandu mabuk) ke sidang Parlimen akan datang namun bukan sidang Parlimen pada 18 Mei ini, biar pemandu mabuk ini dikenakan tindakan tegas termasuk hukuman penjara mandatori.

"Sudah sampai masanya kerajaan mengenakan hukuman tegas kepada pemandu mabuk," katanya dalam sidang akhbar Muafakat Nasional di Bangunan UMNO Selangor hari ini.

Turut hadir sama dalam sidang akhbar ini adalah Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Beliau yang juga Pengerusi UMNO Selangor berkata, hukuman untuk pemandu mabuk ini seharusnya lebih berat kerana ia melibatkan orang lain.

"Kita lihat banyak kes yang mana pemandu mabuk ini, ia melibatkan orang lain sehingga ada yang melibatkan kematian dan kecederaan kepada orang lain," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu mabuk: Sedia pinda akta hukuman lebih berat

Terdahulu pada 4 Mei lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyatakan hukuman berat dan mandatori bakal menanti individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Menurutnya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah diarah meneliti Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 khususnya Seksyen 41 hingga 45 akta berkenaan.

"Saya rasa sudah tiba masanya kita kenakan hukuman mandatori. Ini bukan perkara baharu dan negara lain sudah melaksanakannya dan ia akan dilakukan dalam tempoh terdekat.

"Kita akan melihat cara terbaik. Kalau perlu buat pindaan undang-undang terhadap Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, kita akan buat sebaik-baiknya.

"Ini adalah insiden menyedihkan dan sudah tiba masa untuk jaga keselamatan orang lain," katanya.

Dalam pada itu, 3 Mei lalu, seorang anggota polis yang sedang menjalankan tugas sekatan jalan raya Op Covid-19 di Kilometer 2.8 Lebuhraya Lekas arah Plaza Tol Kajang Selatan di sini maut selepas dirempuh pacuan empat roda dalam kejadian awal pagi itu.

Mangsa, Koperal Safwan Mohd Ismail, 31, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus